Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Khamis, 21 Jun 2012

Masjid Jamek Muar

Di Daerah Muar, terdapat pelbagai binaan dan bangunan bersejarah yang didirikan bagi kegunaan orang awam serta mengabadikan sesuatu peristiwa. Salah satu daripada binaan dan bangunan bersejarah itu ialah Masjid Jamek Muar atau Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar.


Masjid Jamek Muar yang pertama dipercayai dibina sekitar tahun 1884 dan 1887. Letaknya masjid asal ini ialah dalam kawasan Balai Masjid Jamek yang ada sekarang. Ianya juga dikenali sebagai Masjid Kubor kerana terdapat kubur-kubur di perkarangan masjid ini. Dalam Hikayat Johor Kedua, oleh Mejar Dato Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman ada disebutkan tentang masjid ini. Diantaranya :




"Ada pun bandar yang ternama dalam Muar dinamakan Bandar Maharani dibuka pada tahun 1884, tetapi pada tempoh baginda Almarhum Sultan Abu Bakar itu mangkat belumlah ada rumah sewa daripada batu melainkan rumah tiang kayu dua lapis beratap genting. Pejabat Kerajaan rumah atap di tanah berdinding papan dan masjid bertongkat batu beratap genting." 
Masjid Jamek Muar yang ada sekarang ini ditaja pembinaannya pada hari Ahad, 21 Rejab 1343 Hijrah bersamaan 15 Februari 1925 dengan pembiayaan Kerajaan Negeri Johor dan Khairat Ahli Negeri Johor Darul Ta’zim.

Majlis pecah tanah pembinaan tersebut telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor ketika itu, Tunku Ismail (Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim). Kos pembinaan masjid ini berjumlah RM400,000.00 di mana RM 10,000.00 daripadanya adalah dari hasil kutipan derma daripada orang ramai.


Pembinaan masjid ini disusun atur oleh Mejar Dato Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman manakala senibina masjid ini telah dilukis oleh Pelukis Johor pada masa itu iaitu En. Sulaiman Bin Hj. Ilyas. Messrs G.C Gammons of Ocean Building, Singapore dilantik sebagai kontraktor pembinaan.


Masjid Muar ini telah dirasmikan dengan nama Masjid Jamek Bandar Maharani oleh Pemangku Raja, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ketika itu bersama-sama Menteri Besar Dato' Mustafa bin Dato' Jaafar pada hari Jumaat, 29 Ramadhan 1348 bersamaan 28 Februari 1930.


Masjid ini dirasmikan pada Tahun ke-35 Pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Sultan & Jajahan Takluk Johor dan sewaktu Yang Mulia Tunku Temenggong Ahmad menjadi Pesuruhjaya Muar dan Ungku Ali Othman sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Johor.


Dengan terbinanya masjid ini, pelbagai aktiviti berkaitan agama Islam telah diadakan disini. Antara yang paling kerap ialah sambutan Maulidur Rasul setiap tahun di mana pada hari tersebut diadakan perarakan kemduian disusuli dengan ceramah agama dan di akhir majlis, para jemaah akan dihidangkan dengan jamuan percuma seperi nasi minyak dan air sirap bandung.


Antara keunikan masjid ini ialah sebuah jam matahari yang ditempatkan di luar perkarangan masjid. Suatu masa dahulu ianya digunakan bagi menentukan masa dan waktu solat.

Di masjid ini juga DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Diraja Johor pada sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012M.

Untuk lebih maklumat tentang masjid ini, sila layari http://www.masjidjamekmuar.org/