Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Isnin, 18 Mei 2015

Galeri Diraja Papar Sejarah Kesultanan Johor Bakal Diwujud Di Muar

NUSAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Sebuah galeri diraja yang memaparkan sejarah Kesultanan Johor, bakal diwujudkan di kawasan bangunan bekas ibu sawat Telekom Malaysia Bhd di Muar, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan.

Beliau berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi tujuan itu.

"Kerajaan bercadang mewujudkan Galeri Diraja bagi memaparkan sejarah Kesultanan Johor dan terowong masa pengkisahan sejarah Muar dan Bandar Maharani Bandar Diraja.

"Bagaimanapun, galeri berkenaan akan dibangunkan di bangunan bekas ibu sawat Telekom dan bukannya bangunan Mahkamah Tinggi Lama, kerana ia kini masih digunakan sebagai Mahkamah Rendah Syariah Muar," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-13 di sini, Ahad.

Dalam usaha memelihara warisan bangunan lama dan bersejarah, katanya sebanyak lapan pewartaan membabitkan enam bangunan dan dua kawasan warisan dilaksanakan sejak 34 tahun lalu (1980-2014) di Johor.

Zulkurnain berkata bagi mencerminkan inisiatif berterusan dalam memelihara warisan Johor, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak lima pewartaan setiap tahun.

Pada 23 Jan lalu, enam lagi bangunan berjaya diwartakan menjadikan keseluruhan 14 warisan Johor sudah diwartakan sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, kata beliau.

Mengenai penganjuran Sukan Malaysia 2020, Zulkurnain berkata kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah stadium negeri bagi digunakan untuk acara perasmian dan kejohanan acara padang dan balapan.

-- BERNAMA, 17 Mei 2015