Ahad, 12 Ogos 2012

Bandar Maharani Muar kini berusia 125 Tahun (1887-2012)


Hari ini, 12 Ogos 2012 merupakan hari yang sangat bersejarah bagi Bandar Muar atau lebih dikenali sebagai Bandar Maharani.

Ini adalah kerana pada tahun 2012 ini merupakan Ulangtahun ke 125 Tahun Bandar Muar diisytiharkan sebagai Bandar Maharani.


Almarhum Sultan Abu Bakar telah membuka Bandar Muar secara rasmi pada 12 Ogos 1887 dan dinamakan BANDAR MAHARANI iaitu Bandar Isteri Maharaja.

Menurut Dato' Bentara Luar Muhammad Salleh bin Perang di dalam autobiografinya bertajuk Tarikh Dato Bentara Luar Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar telah tiba di Muar dengan Kapal Pantie pada 5 Ogos 1887 bersama-sama Sultanah Fatimah dan anakanda baginda Tengku Puteri dan disambut oleh Residen Muar, Ungku Sulaiman Ungku Daud, Dato Bentara Luar bersama-sama penghulu-penghulu dan dan diadakan sambutan secara sederhana.


Tarikh Dato Bentara Luar Johor

Bandar Muar diisytiharkan sebagai Bandar Maharani oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada hari Jumaat, 12 Ogos 1887 bersamaan 22 Zulkaedah 1304H dalam satu upacara ringkas di mana Almarhum Sultan Abu Bakar sendiri telah menanam 'azimat' di Tangga Batu (kawasan belakang berdekatan Stesen Bas Maharani sekarang). Almarhum Sultan Abu Bakar secara peribadi telah terlibat dalam pembukaan Bandar Maharani.

Tangga Batu - di sinilah Almarhum Sultan Abu Bakar menanam azimat dan menamakan Bandar Muar sebagai Bandar Maharani

Tangga Batu merupakan pusat perhentian feri di Muar sehingga 1967. Kelihatan di belakang ialah Jambatan Sultan Ismail yang sedang dibina ketika itu

Ianya disaksikan oleh Maharani Fatimah (kemudian Sultanah Fatimah), Tengku Puteri,anakanda Maharaja Abu Bakar,Ungku Sulaiman Ungku Daud iaitu Residen Muar, Dato' Bentara Luar Muhammad Salleh Perang, dan pegawai-pegawai kerajaan, ahli perniagaan Cina dan penghulu-penghulu.

Dato' Bentara Luar Muhammad Salleh Perang

Dinamakan sebagai Bandar Maharani sempena gelaran isteri Maharaja Abu Bakar iaitu Maharani Fatimah yang banyak mengambil berat tentang pembangunan daerah Muar ketika itu.
Sultanah Fatimah

125 tahun selepas moyang baginda mengisytiharkan Bandar Muar sebagai Bandar Maharani, DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah mengisytiharkan Bandar Muar sebagai Bandar Diraja Johor pada hari Ahad, 5 Februari 2012 bersamaan 12 Rabiulawal 1433 di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Muar.

DYMM Sultan Ibrahim berkenan mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Diraja Johor Di Masjid Jamek Sultan Ibrahim pada Sambutan Maulidur Rasul 1433H
(kredit gambar dari Laman Rasmi ADUN Maharani)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan