Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Jumaat, 25 Ogos 2017

Papan tanda stesen jadi kenangan kereta api Muar

BHplus
Jumaat, 23 September 2016 | 12:04am

Oleh Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@bh.com.my


MUAR: Ramai yang tidak tahu daerah ini pernah mempunyai perkhidmatan kereta api sekitar tahun 1880-an dan tidak keterlaluan jika dikatakan perkhidmatan itu menjadi lambang kemajuan Muar.

Muar State Railway (MSR) atau Keretapi Kerajaan Muar tercatat dalam sejarah sebagai antara pengangkutan terawal di negara ini, menghubungkan bandar ini hingga ke Sungai Pulai dekat Parit Jawa sejauh 22.5 kilometer yang beroperasi sepenuhnya dari 1889 hingga 1925.

Kewujudan MSR sekali gus menjadi jaringan kedua kereta api di negara ini selepas landasan pertama iaitu menghubungkan Port Weld atau Kuala Sepetang ke Taiping dibuka pada 1885.

Penyediaan pengangkutan ini dibuat berikutan kedudukan daerah ini semakin maju khususnya dalam bidang pertanian terutama dengan tanaman gambir, kelapa dan pinang bagi membawa keluar hasil tanaman kerana keadaan jalan perhubungan darat yang kurang baik, selain ancaman lanun sekiranya melalui laut.

Pembinaan bermula pada 13 November 1887 apabila rundingan dilakukan Kerajaan Johor dengan Datuk Bentara Luar yang juga Ketua Jabatan Tanah dan Hal Ehwal Pertanian Daerah Muar untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah terbabit.

MUAR State Railway (MSR) atau Keretapi Kerajaan Muar tercatat dalam sejarah sebagai antara pengangkutan terawal di negara ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Hasil rundingan itu akhirnya membawa kepada pembinaan laluan kereta api yang dimulakan pada awal 1889 bagi digunakan untuk mengangkut hasil pertanian terbabit yang juga menjadi nadi utama ekonomi di daerah ini.

Penasihat Persatuan Sejarah Daerah Muar, Khamis Joned, berkata perkhidmatan kereta api MSR bukan sahaja menjadi nadi pembangunan ekonomi di daerah ini pada waktu itu, malah menjadi alat perhubungan masyarakat untuk ke bandar.

"MSR ini penting untuk membawa barangan seperti gambir, kelapa dan hasil laut untuk di bawa ke bandar, selain mengelak ancaman lanun sekiranya melalui jalan laut.

"Adanya MSR, ia banyak membantu membangunkan ekonomi di daerah Muar dan juga kawasan di Utara Johor pada waktu itu," katanya.

PENASIHAT Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Muar, Khamis Joned. - Foto Syarafiq Abd Samad
Khamis berkata, selain menjadi alat pengangkutan komoditi, MSR juga turut menyediakan beberapa gerabak khas untuk digunakan bagi membawa penduduk yang berulang alik dari bandar ke Parit Jawa dan sebaliknya.

"MSR mempunyai lapan gerabak, lima daripadanya untuk penumpang dan selebihnya digunakan untuk tujuan mengangkut barang. Seperti kereta api biasa, gerabak penumpang ini dipecahkan kepada tiga kelas iaitu satu, dua dan tiga.

"Semua penumpang dikenakan tambang lima sen bagi setiap batu perjalanan sehala. Bagaimanapun, pelajar yang bersekolah dalam aliran Inggeris dikecualikan tambang kerana kerajaan ketika mahu menggalakkan pendidikan dalam kalangan masyarakat di Muar," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun sambutan terhadap perkhidmatan kereta api MSR ini mulai berkurangan apabila Jalan Abdul Rahman siap dibina pada 1918 yang menyebabkan beberapa kenderaan mula mengambil alih.

"Selain itu, kos penyelenggaraan MSR termasuk rel yang tinggi juga menyebabkan kemerosotan pendapatan syarikat terbabit yang agak ketara berbanding penggunaan kenderaan lain.

Selain itu, kemerosotan harga komoditi termasuk getah juga menjadi penyumbang kepada kemerosotan pendapatan syarikat hingga akhirnya operasi MSR ditamatkan pada 1925," katanya.

Beliau berkata, walaupun beliau tidak sempat untuk melihat sendiri operasi kereta api itu beroperasi berikutan ia sudah dihentikan sebelum kelahirannya, namun beliau sempat melihat beberapa kesan tinggalan landasan MSR di sekitar Muar.

"Saya sempat melihat bekas tinggalan kereta api di sepanjang laluannya yang kini dikenali sebagai Jalan Temenggong Ahmad. Dulu jalan ini hanya tanah merah sahaja dan bukannya seperti sekarang yang bertar sepenuhnya.

"Selepas operasi MSR ditamatkan, beberapa barang milik syarikat itu seperti rel besi dan kayu landasan kemudian dibuka. Difahamkan, ada juga penduduk yang mengambilnya dan menjualnya kerana harga besi yang masih mahal," katanya.

Joned berkata, beliau pernah menyimpan beberapa rel besi kereta api MSR terbabit untuk dijadikan sebagai kenangan dan bahan sejarah, namun malangnya ia sudah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab beberapa tahun lalu.

KEADAAN papan tanda asal stesen Muar State Railways (MSR) Parit Perupok yang masih dalam simpanan Khamis di Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Dulu, saya ada sebuah stor yang dijadikan tempat untuk menyimpan barang berkaitan sejarah termasuk beberapa rel besi MSR dan senjata orang di Muar pada waktu itu, tetapi ia sudah dicuri.

"Namun saya bernasib baik kerana tanpa disangka saya terjumpa papan kayu di rumah seorang kenalan yang rupa-rupanya ialah papan tanda asal stesen kereta api MSR Parit Perupok yang masih dalam keadaan baik.

"Saya bawa balik papan itu dan cuba membaik pulih. Saya rasa inilah antara papan tanda dan barang sejarah mengenai kereta api MSR ini yang ma
sih ada," katanya.

INFO
  •     dibina pada 1887
  •     beroperasi pada 1889 hingga 1925
  •     Harga tambang MSR ialah lima sen sebatu perjalanan sehala.
 1. Stesen MSR Utama
  •     Stesen Bandar Maharani
  •     Stesen Parit Bakar
  •     Stesen Parit Jawa
  •     Stesen Parit Pechah
  •     Stesen Parit Pulai.

2. Stesen MSR Sementara
  •     Stesen Parit Perupok
  •     Stesen Parit Keroma
  •     Stesen Parit Raja
  •     Stesen Parit Unas
  •     Stesen Parit Samsu
  •     Stesen Parit Jamil
  •     Stesen Parit Bulat
  •     Stesen Seri Menanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan