Sejarah merupakan satu khazanah penting untuk dipelihara supaya ia
akan menjadi satu pelajaran dan iktibar kepada jenerasi jenerasi akan
datang. Ia memberi satu gambaran dan fahaman di mana asas serta benteng
yang telah dibina oleh orang orang lama dirasai nikmatnya oleh generasi
yang akan menyusulinya.
Walaubagaimana pun, ada peristiwa peristiwa yang cukup penting dan
bermakna yang tidak diketahui umum di atas sebab sebab yang kita sendiri
tidak mengetahuinya.
Satu daripada peristiwa yang cukup penting ini ialah kebangkitan
tujuh orang anak kelahiran Muar menentang penubuhan Malayan Union.
Alhamdullillah, saya masih hidup dan dapat berkongsi cerita
sebenarnya kepada anak anak muda Muar betapa besarnya pengorbanan orang
tujuh ini terhadap bangsa, agama dan tanahair kita. Bacalah cerita
sebenarnya:
Pada 11 Oktober 1945, dengan senyap senyap dan tidak diketahui umum,
wakil khas kerajaan British yang bernama Sir Harold MacMichael telah
tiba di Port Swettenham (sekarang Port Klang) dengan membawa satu utusan
serta cadangan, iaitu untuk menubuhkan apa yang dipanggil Malayan Union.
Iaitu gabungan semua negeri negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu,
termasuk Straits Settlement. iaitu negeri Melaka dan juga Pulau Pinang.
Penubuhan ini akan memberi kerakyatan penuh kepada semua bangsa,
termasuk bangsa Cina dan India dan mereka akan menjadi rakyat setaraf
dengan bangsa Melayu. Di samping itu, semua Sultan di negeri masing
masing akan hilang kedaulatan mereka dan Sultan Sultan akan
bertanggungjawab kepada seorang pemerintah British yang akan bergelar
Governor-General.
Setibanya di Port Swettenham, Sir Harold MacMichael terus berangkat
ke Kuala Lumpur dengan diiringi oleh Sir Alec Newboult. Di Kuala Lumpur
beliau terus pergi ke King’s House untuk berbincang dengan pegawai
pegawai British yang bertugas di Kuala Lumpur.
Untuk menjadikan Malayan Union satu kenyataan, semua Sultan Sultan
perlu menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan British dengan
memberi persetujuan yang tidak berbelah bagi.
Ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim Johor merupaka Sultan yang sangat
dihormati dan disegani oleh Sultan Sultan negeri lain. Jadi, untuk
memudahkan tanggungjawabnya, Harold MacMachael mengesyorkan supaya
mendapatkan tandatangan Sultan Johor terlebih dahulu.
Pada 20b Oktober, beliau telah dapat berjumpa dengan Sultan Johor dan
setelah menerangkan butit-butir penubuhan Malayan Union, Sultan Johor
pun menandatangani surat perjanjian itu dan bersetuju di atas penubuhan
Malayan Union tadi. Dengan ini, kerja beliau menjadi lebih senang dan
mudah untuk berbincang dengan Sultan-Sultan negeri lain.
Surat perjanjian di antara Sultan Johor dengan kerajaan British disaksikan oleh Tengku Ahmad dan Encik Abdul Kadir.
Pada 20 Oktober 1945, MacMichael berjumpa dengan Sultan Selangor,
Sultan Hishamuddin Alam Shah dan Sultan Selangor juga menandatangani
surat perjanjian itu. Ia disaksikan oleh Encik Hamzah dan Raja Nong.
Pada 2 November 1945, Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Riayatudin
Al-Muazzam Shah telah menandatangani surat perjanjian itu dengan
disaksikan oleh Tunku Mohammad dan G.E. Mohammad.
Pada 14 November 1945, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
menandatangani surat perjanjian itu bersama sama dengan empat Undang
seperti berikut:
- Undang Sg. Ujong – Dato Kelana Putra.
- Undang Jelebu – Dato Shahruddin.
- Undang Johol – Dato Johol
- Undang Rembau – Dato Hipap
dan Tengku Sharifah Loyah mewakili Tunku Besar Tampin.
Surat perjanjian ini disaksikan oleh Tengku Nasir, Tengku Jaafar dan Tengku Hussain.
Pada 22 November 1945, Sultan Perak, iaitu Sultan Abdul Aziz telah
menandatangani surat perjanjian dengan disaksikan oleh Raja Yusof, Raja
Muda Perak dan Dato Temenggong.
Pada 2 Disember 1945, Sultan Kedah, iaitu Sultan Badlishah telah
menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Encik. M.
Shariff dan Encik Yaakub.
Pada 12 Disember 1945,Raja Perlis pula telah menandatangani surat
perjanjian itu dengan disaksikan oleh Encik Ahmad dan Encik Wan Ahmad.
Pada 17 Disember 1945, Sultan Ibrahim dari negeri Kelantan telah
menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Tengku
Ibrahim Petra dan Nik Ahmad Kamil.
Pada 21 Disember 1945, Sultan Terengganu, iaitu Sultan Ismail
Nasirudin Shah telah menandatangani surat perjanjian dan disaksikan oleh
Dato Omar dan Tengku Halim.
Maka berjayalah Harold MacMichael untuk mendapatkan semua tandatangan
Sultan Sultan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Ini bermakna rancangan
untuk menubuhkan Malayan Union tiada lagi halangan.
Pada 6 Januari 1946, berangkatlah MacMichael ke England dengan
kesemua surat surat perjanjian itu. Pada 22 Januari 1946, satu kertas
putih telah dibentangkan di dalam parlimen kerajaan British untuk
kelulusan.
Setelah mendapat kelulusan parlimen British, satu Warta Kerajaan
British yang mengandungi butir butir berkenaan penubuhan Malayan Union
di Tanah Melayu telah disiarkan oleh pihak berkuasa Pentadbiran Tentera
British (BMA) di Tanah Melayu untuk pengetahuan rakyat dan penduduk
Tanah Melayu.
Sebaik sahaja tersiar Warta Kerajaan British itu, seluruh bangsa
Melayu telah terkejut dan merasa Kertas Putih itu adalah satu cabaran
yang tajam, menyentuh maruah bangsa Melayu.
Tidak ada perkataan yang dapat menyifatkann bagaimana perasaan orang
orang Melayu ketika itu– perasaan geram dan marah yang meluap luap
terhadap perbuatan Kerajaan British dan perasaan kesal dan dukacita
terhadap terlanjurnya Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan baginda
baginda keatas perjanjian MacMichael yang memperdayakan itu.
Tetapi, apakan daya, semua surat perjanjian itu sudah menjadi kertas
rasmi dan tidak dapat diperbetulkan lagi. Nasib bangsa Melayu kini akan
hancur dan kedaulatan bangsa Melayu akan hilang di tanah tumpah darah
datuk nenek moyang mereka sendiri.
Di Johor Bahru,
Setelah mengetahui butir-butir kandungan Perjanjian MacMichael itu,
beberapa orang pemimpin Melayu Johor yang diketuai oleh Dato Abdul
Rahman bin Mohammad Yasin telah membantah dengan sekeras-kerasnya.
Sebaik-baik jalan memansuhkan perjanjian itu ialah membuktikan bahawa
Sultan Johor telah bertindak di luar batasan Undang-Undang Tubuh negeri
dan perbuatannya tidak sah dari segi undang undang.
Dato Abdul Rahman yang berasal daripada Parit Bakar, Muar terus
pulang ke Muar untuk berjumpa dengan pejuang-pejuang Melayu ketika itu.
Di antara orang pertama yang beliau berjumpa ialah Dr. Hamzah, Hj. Taib
dan Ciku Kosai. Dr. Hamzah merupakan anak Melayu Johor pertama menjadi
doktor di negeri itu.
Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk
menentang perbuatan Sultan, bukan untuk menderhaka kepada baginda,
tetapi lebih untuk menyelamatkan kedudukan baginda sebagai Sultan
berdaulat di negeri Johor.
Apabila mendengar cadangan untuk menentang penubuhan Malayan Union
ini, dua orang lagi anak Muar tampil kehadapan untuk memberi bantuan dan
kerjasama. Mereka adalah dua beradik yang bernama Cikgu Ahmad Suleiman
dan Cikgu Safiah Suleiman.
Di dalam satu jamuan makan malam di rumah Dr. Hamzah Hj. Taib, dua
orang lagi penjuang dari Muar hadir untuk memberi bantuan. Mereka ialah
Hj. Hassan Yunos (sepupu kepada Dato Abdul Rahman) dan Dr. Awang bin
Hassan (saudara rapat dengan Dato Abdul Rahman dan Dr. Hamzah).
Secara kebetulan, Dato Abdul Rahman ketika itu ialah Pegawai
Keawangan Negeri Johor, Hj. Hassan Yunos pula ialah Mufti Kerajaan
Negeri Johor, dan Cikgu Kosai ialah Pegawai Jabatan Hutan.
Mereka telah membuat satu risalah menerangkan kepada orang ramai
bahawa perbuatan Sultan Johor adalah salah disisi undang-undang tubuh
kerajaan negeri Johor. Risalah itu disebarkan kepada seluruh negeri
Johor dan rakyat Johor mula memberi sokongan kuat kepada gerakan mereka.
Dato Abdul Rahman berhasrat untuk mengandap baginda Sultan tetapi
dihalang oleh pegawai-pegawai istana. Malah kesemua mereka telah
digantung kerja masing masing, tetapi ini tidak memantahkan semangat
mereka.
Hari demi hari, sokongan rakyat Melayu Johor semakin bertambah dan
ini membimbangkan pihak Istana. Pada ketika ini, Dato Onn Jaafar
langsung tidak menyebelahi gerakan mereka.
Maka mereka bersepakat untuk menghantar satu petisyen bantahan kepada
baginda Sultan dan setelah berbincang, mereka mencadangkan agar Hj.
Hassan Yunos seorang sahaja mengandap baginda Sultan dan statusnya
sebagai Mufti Kerajaan Negeri membolehkan perkara ini berlaku.
Satu perutusan telah dihantar kepada baginda Sultan supaya menerima
kunjungan Hj. Hassan Yunos. Alhamdullillah, baginda Sultan bersetuju
untuk berjumpa dengan Hj. Hassan Yunos.
Pada hari yang telah ditetapkan, ramai penyokong penyokong telah
berhimpun di perkarangan Masjid Abu Bakar di Johor Bahru. Jarak antara
Masjid Abu Bakar dan Istana Besar tidaklah begitu jauh. Maka berjalanlah
seorang diri Hj. Hassan Yunos menuju ke Istana dengan membawa petisyen
tersebut.
Menurut anak Hj. Hassan Yunos, iaitu Encik Murad (sahabat rapat
saya), apabila ayahnya sampai di tangga Istana Besar, lututnya megeletar
dan susah untuk menaiki tangga. Perasaan takut memang ada tetapi
tanggungjawab untuk menjaga maruah bangsa Melayu tidak boleh
dipermainkan. Beliau mendoa ke hadarat llahi supaya memberikan dia
semangat yang kuat apabila mengadap baginda Sultan nanti.
Setibanya di pintu besar Istana, seorang pegawai Istana menjemputnya
ke ruang tamu sambil menunggu keberangkatan baginda. Tidak lama
kemudian, munculah baginda Sultan, lantas Hj. Hassan terus bangun dan
mencium tangan baginda. Dijemputnya Hj. Hassan supaya duduk dan dengan
penuh tertib, Hj. Hassan menerangkan satu persatu di mana kesalahan
baginda.
Apabila habis penerangan Hj. Hassan Yunos kepada baginda Sultan,
barulah baginda sedar yang perbuatan baginda itu adalah salah disisi
undang undang tubuh negeri Johor. Baginda Sultan berjanji dengan Hj.
Hassan yang baginda akan menarik balik perjanjian itu. Maka gembiralah
Hj. Hassan bahawa beliau telah berjaya mengajak baginda kembali ke
pangkal jalan yang sebenar. Baginda Sultan menerima petisyen itu dan
mengucapkan selamat jalan kepada Hj. Hassan.
Suasana di perkarangan Mesjid Abu Bakar cukup resah dengan
penyokong-penyokong menunggu kepulangan Hj. Hassan dari Istana. Tidak
lama kemudian, mereka melihat Hj. Hassan berjalan menuju keMesjid Abu
Bakar dengan mengangkat tangan tanda kejayaan.
Dengan tiba-tiba suasana menjadi riuh rendah, ada yang menjerit jerit
tanda kesukaan dan ada yang menandah tangan kelangit untuk melafazkan
kesyukuran kehadrat Allah. Dato Abdul Rahman dan rakan rakan
seperjuangannya berpeluk peluk sambil menangis kegembiraan. Mereka telah
berjaya untuk mematahkan penubuhan Malayan Union.
Beberapa hari kemudian, baginda Sultan Johor telah menulis sepucuk
surat kepada kerajaan British dengan kandungan isinya seperti berikut:
“Beta tidak dikerasi dan dikejut kejut dan beta tidak menurunkan tandatangan denga penuh kemahuan akan tetapi setelah memikirkan semula perkara itu beta berpendapat bahawa beta telah menyain perjanjian itu dengan tidak terlebih dahulu menyiasat dengan sehalus halusnya seperti yang sepatutnya diperbuat dan malangnya beta tidak sedar akan kesan kesan yang mengenai lebih jauh.
Oleh hal yang demikian, beta suka menyatakan iaitu di dalam hal yang demikian beta tidak sanggup lagi bertanggungjawab kepada persetujuan yang beta berikan mula mula itu.”
Setelah mendengar yang baginda Sultan Johor telah menarik balik surat
perjanjian itu, kesemua Sultan Sultan lain telah mengikut jejak yang
sama. Maka apabila orang orang Melayu mendapat tahu bahawa Raja-Raja
Melayu telah menarik balik perjanjian mereka, seluruh rakyat Melayu
bangkit dengan penuh bersemangat. Di saat inilah baru munculnya Dato Onn
Jaafar.
Begitulah pengorbanan yang telah diberikan oleh pejuang-pejuang anak
kelahiraan Muar kita. Mereka sanggup melawan Sultan bukan untuk
menderhaka tetapi untuk menjaga supaya institusi Raja Raja terpelihara.
Mengapakah mereka digelar Orang Tujoh Muar? Ini oleh kerana hanya tujuh orang yang menandatangani petisyen kepada Sultan.
Cikgu Kosai sebenarnya berkelulusan tinggi, iaitu dari Cambridge,
England. Oleh kerana beliau bermula kerja sebagai saorang guru, maka
panggilan Cikgu Kosai cukup mesra dengannya.
Hj. Hassan kemudian menjadi Menteri Besar Johor dengan gelaran Tan
Sri. Dr. Hamzah Hj. Taib meninggal dunia semasa masih muda. Dr. Awang
Hassan kemudian menjadi Gabenor Pulau Pinang dengan gelaran Tun.
Begitulah kisah perisitwa yang cukup bermakna ini. Marilah kita
menghadiahkan Al Fatihah kepada tujuh anak kelahiran Muar yang mana jasa
mereka kepada bangsa Melayu tidak terhingga besarnya.
Al Fatihah buat :
- Allahyarham Dato' Abdul Rahman Mohd. Yassin.
- Allahyarham Dato' Suleiman Abdul Rahman.
- Allahyarham Tan Sri Hj. Hassan Yunos.
- Allahyarham Tun Dr, Awang Hassan.
- Allahyarham Dato' Hj. Kosai Muhammad Salleh
- Allahyarham Encik Ahmad Sulaiman.
- Allahyarhamah Cik Safiah Sulaiman.
Sumber : Dato Kamaruddin Abdullah
Penulis buku ‘Pages From My Past’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan