Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Rabu, 23 Disember 2020

Penantian Penubuhan Galeri Diraja Sebagai Alternatif Kepada Muzium Diraja

Sekitar tahun 2013, wujud satu program yang dikenali sebagai Satu Daerah Satu Muzium yang bakal dikendalikan oleh Yayasan Warisan Johor bagi memelihara warisan dan budaya sekitar. Ketika itu, dicadangkan penubuhan Muzium Pagoh dan Muzium Diraja Bandar Maharani bagi daerah Muar.

Setelah sekian lama menunggu, cadangan nampaknya masih tinggal cadangan tanpa sebarang tindakan yang konkrit. Terbaharu, dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Muar 2030, muncul lagi cadangan bagi menyegerakan penubuhan Galeri Diraja (bukannya lagi Muzium Diraja - mungkin bercanggah atau keliru dengan Muzium Diraja yang telah wujud di Johor Bahru) .

 


 

Di samping itu, dalam Draf RTD Muar 2030 juga mencadangkan agar Daerah Muar dijadikan lokasi pelancongan berasaskan warisan dan kebudayaan dengan mengadakan kajian di tapak-tapak warisan seperti Kubu Bentayan dan mengetengahkan kebudayaan warisan seperti tarian, makanan dan sebagainya.

 

Selain itu juga, dicadangkan agar diadakan penyelidikan tentang leluhur rakyat (urban legend), mitos dan kisah sejarah tempatan yang boleh diangkat sebagai salah satu warisan unik yang terdapat di Daerah Muar.

Dan akhir sekali, mewujudkan jejak warisan (Heritage trail) dengan memperkenalkan bangunan serta tempat bersejarah yang ada di sekitar Bandar Maharani Bandar Diraja seperti Bangunan Kastam, Bangunan Sultan Abu Bakar dan sebagainya.





Bagi blogmaster sendiri secara peribadi, cadangan yang dibawa dan dikemukakan dalam draf tersebut memang nampak terbaik dan berasa sedikit teruja dengan input-input yang dibentangkan. Tetapi sejak sekian kalinya, outcame atau hasilnya begitu mengecewakan.

Seperti perjuangan blogmaster dalam laman blog ini iaitu menantikan wujudnya MUZIUM, galeri atau apa sahaja istilah yang ingin digunakan. Kesungguhuan pihak-pihak berwajib nampaknya seakan hambar dan tidak menunjukkan kemajuan langsung. Bangunan usang semakin terbiar. Warisan hidup pula semakin ramai meninggalkan kita. Manakala warisan ketara dan tidak ketara semakin dilupakan terutamanya oleh generasi muda. Dalam masa yang sama, pihak-pihak berkepentingan terus mengambil kesempatan mengaut hasil atas nama sejarah dan warisan serta kebudayaan orang lain dan mengetengahkan budaya dan warisan mereka sendiri tanpa segan silu.

Sekiranya ini dibiarkan berterusan, maka blogmaster yakin matlamat menjadikan Daerah Muar sebagai salah satu bandar bersejarah dan warisan semakin sukar direalisasikan. Lupakanlah sama sekali kebitaraan Daerah Muar sebagai salah sebuah  bandar dan daerah bersejarah terpenting di Malaysia selagi semua pihak masih lagi dibuai mimpi indah dan syok sendiri dalam membangunkan daerah ini.

Jadikanlah leluhur terdahulu, Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai inspirasi terhebat. Dalam tempoh kurang dari 5 tahun, baginda serta pegawai-pegawai kerajaan yang sungguh berdedikasi ketika itu telah berjaya membangunkan daerah Muar dari kosang sehingga berjaya mewujudkan perkhidmatan keretapi Muar yang terkenal di seluruh Malaya ketika itu tanpa sebarang dana dari penjajah Inggeris ketika itu.

Tinggalkan nama dan jasa yang hebat seperti Dato Bentara Luar, Allahyarham Dato Muhammad Salleh Perang dan Dato Seri Amar Diraja, Allahyarham Dato Abdul Rahman Andak. Semoga jasa dan pengorbanan mereka sentiasa mekar dulu, kini dan selamanya.

2 ulasan:

  1. Yes, saya amat bersetuju. Bagi saya, pelan rancangan daerah ni macam a downgrade dari yang dahulu. Dan banyak yang hanya copy paste dari yang dahulu. Sedangkan muar & tangkak ni mempunyai bukan saja warisan tetapi geo-sejarah yang significant utk ditengahkan dan dikonservasi.

    BalasPadam
  2. Bagi saya, seharusnya muzium yg wujud adalah satu muzium am muar yg didalamnya terdiri beberapa galeri termasuk galeri diraja. Bukan hanya khas untuk diraja, sebab skop sejarah muar bukan hanya berkisar kpd hanya pada dirajanya, tetapi lebih luas lagi.

    Bagi saya, pembangunan muar perlu bukan sahaja dari segi hanya warisan dan sejarah, tetapi jugak kepada nilai ekologi, dan jugak budaya dan cara hidup.

    Perancangan pelancongan juga perlu lebih luas dan diberi penekanan yang lebih, selari dgn pembangunan warisan yang ingin dilaksanakan.

    BalasPadam