Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Ahad, 1 Julai 2012

Tan Sri Mohamed Noah bin Omar

Muar sememangnya bukan sahaja kaya dengan pelbagai peristiwa bersejarah tetapi juga telah melahirkan ramai tokoh yang berwibawa dan berkaliber dalam pelbagai lapangan sejak sebelum merdeka sehinggalah kini.

Salah seorang tokoh yang telah banyak mewarnai lipatan sejarah negara ialah Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah bin Omar.

Mohamed Noah ialah tokoh yang sangat besar. Jasa dan sumbangannya kepada bangsa Melayu dan negara tidak ternilai tetapi sayang mudah dilupakan.

Jangan dilupai bahawa Allahyarham adalah negarawan dan pejuang kemerdekaan.

Kehidupan Awal

Mohamed Noah dilahirkan di Bandar Maharani Muar pada 13 Ogos 1897 bersamaan 12 Rabiul Awal iaitu bertetapan pada hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Mengikut salasilah, Mohamed Noah berasal daripada sebuah keluarga yang sejak turun-temurun bergelar "Orang Kaya" yang menjaga dan mentadbir daerah Padang, Muar.

Bapanya, Orang Kaya Omar dan datuknya Orang Kaya Junid merupakan "Orang Kaya" yang terbilang dan berpengaruh pada zaman pemerintahan Almarhum SuItan Abu Bakar (1862-1895).

Gelaran "Orang Kaya" dikurniakan kepada seseorang rakyat untuk menjadi wakiI Sultan menjaga keamanan dan mentadbir daerahnya.

Pendidikan

Ketika ayahnya Orang Kaya Omar meninggal dunia, Mohamed Noah berumur kira-kira 6 bulan.

Mohamed Noah sejak kecil lagi telah mendapat didikan agama di peringkat permulaan daripada ayah tirinya, Haji Hassan. la diajar mengaji al-Quran dan hukum-hukum agama yang bersangkutan dengan fardu ain.

Setelah tamat belajar di sekolah Melayu, Mohamed Noah dihantar belajar di sekolah Arab Al-Madarasah Al-Arabiah Al-Khairiah.

Oleh sebab di tanah air kita pada masa itu tidak ada sekoIah Arab dan agama yang Iebih tinggi daripada itu, maka beliau dihantar ke Beirut, Lebanon untuk melanjutkan pelajaran tinggi daIam jurusan bahasa Arab dan agama pada 11 Mei 1914.

Bersama dengan tujuh lagi rakannya, Mohamed Noah pernah menuntut ilmu di Kuliah Al-Othmaniah Al-Islamiah, Beirut dan kemudian di Syrian Protestant College (sekarang American University of Beirut).

Apabila pulang ke tanah air pada 1919, beliau mendapat kerja sebagai kerani di sebuah syarikat perniagaan warga Denmark yang berniaga membeli susu getah di Jalan Bakri, Bandar Maharani, Muar.

Kerjaya
Dalam bulan Julai 1920 beliau telah berhenti kerja dan berkhidmat pula dalam Kerajaan Johor sebagai kerani di Mahkamah Tinggi Muar.

Pada bulan April 1922, Mohamed Noah pun mendirikan rumah tangga dengan Maimun Abdul Manaf (anak Kadi Daerah Muar).


Gambar kenangan Mohamed Noah Omar bersama anak, menantu, cucu serta cicit semasa sambutan ulang tahun ke-90 pada Disember 1987.

Daripada perkongsian hidup itu mereka dikurniakan beberapa orang anak, antaranya ialah Fakhriah (gelaran Teh), Abu Rais (gelaran Atan), Suhaila dan Rahah.

Fakhriah ialah isteri kepada Datuk Abdullah bin Ahmad, bekas Yang Dipertua Majlis Bandaran Johor Bahru, Suhaila isteri kepada Hussein Onn, (Perdana Menteri ketiga) dan Rahah isteri kepada Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri kedua).

Walaupun sibuk dengan urusan pejabat tetapi beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan yang sejiwa dengannya telah mengikuti kelas undang-undang.

Akhirnya, dengan azam yang kuat dan bersungguh-sungguh Mohamed Noah telah lulus peperiksaan undang-undang. Dengan kelulusan itu beliau telah dilantik menjadi pegawai kerajaan Johor pada 15 Julai 1928. Beliau kemudiannya menjadi seorang Majistret kelas dua di Mahkamah Muar.

Setelah bertugas di Mahkamah Muar, pada bulan Januari 1934, Mohamed Noah ditukarkan ke Mersing sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah bagi daerah Mersing merangkap Majistret di daerah itu.

Pada 4 Januari 1936, beliau kemudiannya ditukarkan semula bertugas di Muar sebagai Penolong Kanan Pemungut Hasil Tanah bagi daerah Muar. Setelah selama lebih kurang tiga tahun beliau memegang jawatan tersebut, pada 1 Julai 1939, Mohamed Noah telah dilantik memegang jawatan Timbalan Pegawai Daerah Mersing hinggalah meletus Perang Dunia Kedua pada 8 Disember 1942.

Setelah tentera Jepun di Malaya menyerah kalah kepada pemerintahan tentera British pada 12 September 1945, maka pada saat itulah orang Melayu mulai sedar tentang nasib bangsa dan negara mereka.

Datuk Onn Jaafar adalah salah seorang daripada tokoh politik yang mula-mula sekali bergerak menyatukan orang Melayu dalam pertubuhan "Pergerakan Melayu Semenanjung". Pergerakan yang dipimpin beliau itu berpusat di Batu Pahat.

Pada ketika itu Mohamed Noah tinggal di Batu Pahat, berkhidmat sebagai Majistret. Beliau juga adalah orang yang bekerja keras menubuhkan pergerakan itu, sebuah pertubuhan politik yang pertama ditubuhkan oleh orang Melayu di Johor selepas Perang Dunia Kedua.

Beliau juga salah seorang daripada tokoh-tokoh politik Johor yang memainkan peranan penuh dalam perjuangan orang Melayu menghapus Malayan Union.

Pada awal bulan November 1945, satu mesyuarat kecil di antara enam tokoh politik Melayu Johor telah diadakan di rumah Mohamed Noah di Jalan Sultanah, Batu Pahat. Perbincangan dijalankan sejak dari pukul 8.00 malam dan berakhir pada pukul 3.00 pagi menjadi titik mula penubuhan UMNO.

Jawatan terakhir Mohamed Noah sebagai kakitangan awam ialah Yang Dipertua Jabatan Agama Johor.

Politik

Selepas bersara, Mohamed Noah telah bergerak lebih cergas dalam gelanggang politik tanah air dan juga badan-badan kebajikan dan sukarela.

Mohamed Noah dipilih menjadi Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1951. Beliau telah memegang jawatan itu selama lapan tahun berturut-turut hingga akhir tahun 1959.

Mohamed Noah telah meletakkan jawatan Pengerusi Tetap UMNO apabila beIiau di lantik menjadi Speaker pertama bagi Dewan Rakyat pada 1959.

Apabila pilihan raya diadakan di Johor pada 1955, Mohamed Noah telah bertanding di kawasan Segamat dan beliau menang. Beliau mewakili kawasan Segamat dari 9 Oktober 1955 hingga Jun 1959 dan beliau juga menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerja Negeri Johor sepanjang tempoh tersebut.

Sebagai majistret dan berjuang menentang Malayan Union, beliau diberi kepercayaan bertanding di Johor Bahru Timur, Johor mewakili Perikatan / UMNO dalam pilihan raya umum 1959. Dan beliau menang.

Tan Sri Mohamed Noah dijulang oleh para penyokongnya selepas meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Parlimen kawasan Johor Bahru Timur pada Ogos 1959.

Beliau menjadi Speaker Parlimen mulai 1 September 1959 hingga 29 Februari 1964 dan kemudian dilantik Yang Dipertua Dewan Negara yang ketiga dari 24 Februari 1969 hingga 28 Julai 1970. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Parlimentari Komanwel.

Bersama-sama dengan beberapa orang rakan karibnya yang ada di Muar, Mohamed Noah menyertai kumpulan bahas bagi orang lslam dikenali Muslim Debating Association atau ringkasnya MDA.

Beliau juga memiliki bakat berkarya apabila terlibat dalam penerbitan sebuah majalah bulanan separuh politik Lidah Teruna. Majalah ini sangat popular pada 1920-an. Malah beliau turut menyertai Persekutuan Sahabat Pena Malaya atau nama singkatnya PASPAM.

Allahyarham juga dikenali “Cik Noah Beirut" nama timang-timangan yang menandakan perasaan mesra dan kasih sayang masyarakat kepadanya.

Dalam lapangan sukan “Cik Noah Beirut" telah dipilih menjadi setiausaha Persekutuan Bola Sepak Negeri Johor di samping ahli jawatankuasa kelab seperti Muar Kelab, Kelab Gubahan Setia, Kelab Tenis, Kelab Menembak dan sebagainya.

Pusara Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar di Makam Pahlawan di Masjid Negara, Kuala Lumpur

Beliau meninggal dunia pada hari Rabu, 4 September 1991 ketika berumur 94 tahun dan dimakamkan di Makam Pahlawan di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Khamis, 21 Jun 2012

Masjid Jamek Muar

Di Daerah Muar, terdapat pelbagai binaan dan bangunan bersejarah yang didirikan bagi kegunaan orang awam serta mengabadikan sesuatu peristiwa. Salah satu daripada binaan dan bangunan bersejarah itu ialah Masjid Jamek Muar atau Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar.


Masjid Jamek Muar yang pertama dipercayai dibina sekitar tahun 1884 dan 1887. Letaknya masjid asal ini ialah dalam kawasan Balai Masjid Jamek yang ada sekarang. Ianya juga dikenali sebagai Masjid Kubor kerana terdapat kubur-kubur di perkarangan masjid ini. Dalam Hikayat Johor Kedua, oleh Mejar Dato Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman ada disebutkan tentang masjid ini. Diantaranya :




"Ada pun bandar yang ternama dalam Muar dinamakan Bandar Maharani dibuka pada tahun 1884, tetapi pada tempoh baginda Almarhum Sultan Abu Bakar itu mangkat belumlah ada rumah sewa daripada batu melainkan rumah tiang kayu dua lapis beratap genting. Pejabat Kerajaan rumah atap di tanah berdinding papan dan masjid bertongkat batu beratap genting." 
Masjid Jamek Muar yang ada sekarang ini ditaja pembinaannya pada hari Ahad, 21 Rejab 1343 Hijrah bersamaan 15 Februari 1925 dengan pembiayaan Kerajaan Negeri Johor dan Khairat Ahli Negeri Johor Darul Ta’zim.

Majlis pecah tanah pembinaan tersebut telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor ketika itu, Tunku Ismail (Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim). Kos pembinaan masjid ini berjumlah RM400,000.00 di mana RM 10,000.00 daripadanya adalah dari hasil kutipan derma daripada orang ramai.


Pembinaan masjid ini disusun atur oleh Mejar Dato Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman manakala senibina masjid ini telah dilukis oleh Pelukis Johor pada masa itu iaitu En. Sulaiman Bin Hj. Ilyas. Messrs G.C Gammons of Ocean Building, Singapore dilantik sebagai kontraktor pembinaan.


Masjid Muar ini telah dirasmikan dengan nama Masjid Jamek Bandar Maharani oleh Pemangku Raja, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ketika itu bersama-sama Menteri Besar Dato' Mustafa bin Dato' Jaafar pada hari Jumaat, 29 Ramadhan 1348 bersamaan 28 Februari 1930.


Masjid ini dirasmikan pada Tahun ke-35 Pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Sultan & Jajahan Takluk Johor dan sewaktu Yang Mulia Tunku Temenggong Ahmad menjadi Pesuruhjaya Muar dan Ungku Ali Othman sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Johor.


Dengan terbinanya masjid ini, pelbagai aktiviti berkaitan agama Islam telah diadakan disini. Antara yang paling kerap ialah sambutan Maulidur Rasul setiap tahun di mana pada hari tersebut diadakan perarakan kemduian disusuli dengan ceramah agama dan di akhir majlis, para jemaah akan dihidangkan dengan jamuan percuma seperi nasi minyak dan air sirap bandung.


Antara keunikan masjid ini ialah sebuah jam matahari yang ditempatkan di luar perkarangan masjid. Suatu masa dahulu ianya digunakan bagi menentukan masa dan waktu solat.

Di masjid ini juga DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Diraja Johor pada sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012M.

Untuk lebih maklumat tentang masjid ini, sila layari http://www.masjidjamekmuar.org/

Jumaat, 18 Mei 2012

Beca Muar

Terdapat pelbagai jenis pengangkutan yang digunakan penduduk di Daerah Muar suatu ketika dahulu. Antara yang paling popular ialah beca.

Beca merupakan salah satu pengangkutan yang paling popular sejak sebelum merdeka lagi sehingga dikenali sebagai Raja Jalan Raya.

Pernah dilaporkan di dalam akhbar sekitar tahun 1960-an bahawa pihak Majlis Daerah Muar telah meluluskan 11 tempat parkir untuk beca di kawasan bandar Muar.

Tiga dekad lalu dilaporkan terdapat berpuluh-puluh malah beratus-ratus beca di Muar ketika zaman kegemilangannya, tetapi pada hari ini (2012) mungkin tidak sampai 10 beca yang masih kelihatan di jalan-jalan raya sekitar Muar.

Kemajuan Muar menyebabkan Beca hanya sebagai pusaka peninggalan sejarah yang masih tinggal pada hari ini. Kebanyakan yang mengayuh beca juga hanya terdiri daripada warga emas yang telah menjadikan beca sebagai sumber pendapatan mereka ketika mereka masih muda.

Di Muzium Negara, terdapat sebuah beca yang digelar sebagai Beca Parit Jawa dipamerkan di sana. Keunikan beca Muar ini diabadikan dalam penerangan tentang beca Muar seperti berikut :

Beca roda tiga ini berasal dari Parit Jawa, Muar, Johor. Warna hijau, merah, hitam dan kuning menjadi warna kegemaran zaman itu. Kusyennya diperbuat daripada sabut kelapa dan dilengkapkan dengan penyandar. Beca digunakan untuk membawa dua penumpang dewasa dan seorang atau dua orang kanak-kanak. Bumbungnya diperbuat daripada kanvas yang boleh dibuka atau ditutup mengikut keperluan. Pada masa kini, ia tidak lagi digunakan dan tidak menyerupai beca-beca yang terdapat di Pulau Pinang dan Melaka.
Selain itu, untuk mengabadikan keunikan beca Muar sebagai satu tarikan pelancongan, sebuah binaan gergasi Beca Muar telah dibina oleh Majlis Perbandaran Muar pada tahun 1999 dengan kos RM50,000.00.

Replika Beca Muar ini setinggi 7 meter dibina di Taman Rekreasi Kesang, di sempadan Kesang, Muar (sekarang Ledang) - Sungai Rambai,Melaka tidak jauh dari bandar Maharani Muar. Ia kini menjadi tarikan utama pengunjung.

Diharapkan agar pada masa hadapan, ada pihak-pihak yang berminat mempopularkan kembali perkhidmatan beca bukan sekadar menjadi tarikan pelancongan di Daerah Muar tetapi juga mengekalkan warisan unik yang pernah wujud di Daerah Muar khususnya dan di negeri Johor amnya.