Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Selasa, 12 Ogos 2014

Muar - 130 Tahun (1884-2014) & Bandar Maharani 127 Tahun (12 Ogos 1887 - 12 Ogos 2014)

127 tahun dahulu, pada tanggal 12 Ogos, sebuah bandar pelabuhan terletak di Kuala Sungai Muar telah diberikan nama Bandar Maharani oleh Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai mengabadikan nama suri baginda ketika itu, Almarhumah Maharani (kemudiannya Sultanah) Fatimah.

Tiga tahun sebelum itu, iaitu pada tahun 1884, Almarhum Sultan Abu Bakar telah menitahkan kepada Dato Bentara Luar, Allahyarham Dato' Muhammad Salleh bin Perang agar membuka daerah Muar bermula dengan pembangunan sebuah bandar di Kuala Muar yang kini dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja.

Sememangnya, sejak dari awal pembukaan bandar ini, ianya sangat dekat di hati dan jiwa kerabat diraja Johor terutamanya Almarhum Sultan Abu Bakar.

Ketika hayat baginda, Muar diberikan perhatian yang istimewa dari segi pembangunan infrastruktur dan juga struktur masyarakatnya. Almarhum baginda sering mencemar duli turun ke Muar untuk melihat sendiri perkembangan serta pembangunan bandar ini dan juga memberikan pelbagai cadangan yang bernas bagi kemajuan Muar ketika itu.



Selain itu juga, baginda telah melantik Wakil Mutlak Maharaja, kemudiannya dipanggil Residen dan seterusnya Pesuruhjaya Kerajaan dari kalangan kerabat diraja Johor bagi mentadbir dan mengurus perkembangan Muar ketika itu. Antara mereka yang dilantik termasuklah adinda baginda, Almarhum Ungku Abdul Majid Ibrahim sebagai Wakil Mutlak Maharaja, Almarhum Ungku Sulaiman Daud sebagai Residen Muar serta Almarhum Tunku Temenggung Ahmad sebagai Pesuruhjaya Kerajaan Muar.


Seperti yang kita sedia maklum, Muar merupakan satu-satunya bandar yang mempunyai perkhidmatan keretapi yang dikenali Muar State Railway (MSR) umpama sistem LRT atau MRT ketika ini. Malah ibu negeri Johor iaitu Johor Bahru sendiri tidak mendapat keistimewaan yang sebegitu. Walaupun MSR bukanlah sistem keretapi pertama di Malaysia, tetapi ianya tetap menjadi kebanggaan Warga Bandar Diraja ini.

Almarhum baginda juga bukan sahaja memperkenalkan Muar kepada warga tempatan tetapi juga sering membawa tetamu kenamaan terutamanya dari Eropah untuk melawat Muar.

Antara yang sangat masyhur dan diabadikan dalam sebuah travel log oleh seorang penulis Barat iaitu Mrs Florence Caddy dalam bukunya To Siam and Malaya in the Duke of Sutherland's yacht 'Sans peur' yang diterbitkan pada tahun 1889. Beliau mengikuti lawatan bersama Duke of Sutherland ke negara-negara seperti Siam (kini Thailand), Egypt (Mesir), Ceylon (Sri Lanka) serta Singapura dan Johor.

Nyatalah bahawa Bandar Maharani dan Muar bolehlah diibaratkan bagaikan anak emas Almarhum Sultan Abu Bakar ketika hayat baginda. Sehinggalah kepada sambutan Hari Kerajaan (atau sekarang dikenali sebagai Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor) yang terakhir sebelum baginda mangkat di London pada 4 Jun 1895 juga telah diadakan di Bandar Maharani. Ketika itu diceritakan bahawa Almarhum baginda sedang gering namun tetap menghadiri sambutan Hari Kerajaan di Muar dan itulah lawatan terakhir baginda ke Muar sebelum berangkat ke London dan mangkat di sana pada 1895.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Raja Temenggung Tun Ibrahim Sri Maharaja dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Al-Fatihah ............

DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Raja Temenggung Tun Ibrahim Sri Maharaja

Jumaat, 20 Jun 2014

Aturcara Karnival KMJ 2014 & Hari Perbandaran Muar

Aturcara Karnival Sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 & Hari Perbandaran Muar

http://muziummuar.blogspot.com/p/blog-page_20.html
(Klik gambar di atas untuk aturcara penuh program)

Karnival sempena KMJ 2014 hari ini


Beberapa petugas membuat persiapan sempena Karnival Kembara Mahkota Johor 2014 di Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam.
 
Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR 19 Jun - Majlis Perbandaran Muar (MPM) menganjurkan Karnival Kembara Mahkota Johor (KMJ 2014) dan sambutan Hari Perbandaran Muar Ke-13 di Dataran Tanjung Emas di sini selama empat hari bermula esok.

Yang Dipertua MPM, Ramlee A. Rahman berkata, pelbagai acara menarik disediakan untuk pengunjung antaranya pameran, demonstrasi hasil seni dan kraf tangan serta persembahan hiburan daripada artis tempatan.

"Selain disertai usahawan industri kecil dan sederhana, karnival ini disertai pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Pada hari pertama, pameran dibuka bermula pukul 8 pagi hingga pukul 12 tengah malam manakala pada pukul 9 malam, dianjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

"Pada hari kedua, orang ramai boleh menyaksikan pameran belon udara panas, pertandingan bola dan persembahan artis termasuk Nash Lefthanded, Jambu dan Airyn Farawaniz bermula pukul 9 malam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ramlee, bermula pukul 8 pagi Ahad pula, orang ramai berpeluang melihat motosikal berkuasa tinggi, wall climbing dan pertandingan Mr. Badan Cantik serta persembahan kugiran Sekolah Tinggi Muar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar.

Katanya, kemuncak sambutan adalah ketibaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum pelbagai acara menarik diadakan termasuklah persembahan flying board dan pertunjukan bola sepak membabitkan pemain JDT.

Pada masa sama katanya, MPM akan menutup Jalan Majidee, Jalan Khalidi dan jalan sekitarnya bagi memberi laluan kepada pertandingan Muar Sihat 10,000 Langkah yang akan diadakan pada pukul 7.30 pagi, Isnin ini.

Selepas itu katanya, MPM akan menutup Jalan Petrie di pusat bandar ini selama dua jam bermula pukul 11 pagi bagi memberi laluan kepada Sultan Johor mengetuai rombongan KMJ 2014 ke Dataran Tanjung Emas.

"Penutupan jalan hanya dilakukan sebelum dan ketika Sultan Ibrahim melaluinya dan akan dibuka semula sejurus baginda tiba di Tanjung Emas. Kami sudah mengedarkan risalah kepada peniaga dan pengguna jalan berkenaan berkaitan penutupan Jalan Petrie dan berharap semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Pada mulanya, rombongan itu bercadang melalui keseluruhan Jalan Abdullah namun disebabkan baginda bakal memandu bas jenis Super Coach dengan saiz yang besar berbanding bas biasa, adalah lebih sesuai menggunakan Jalan Petrie," ujarnya.

(sumber : Utusan Malaysia, 20 Jun 2014)