Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Jumaat, 23 November 2012

Sultan Johor mahu kerajaan negeri sedia pelan pembangunan Muar

MUAR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta kerajaan negeri menyediakan pelan pembangunan Bandar Muar yang menyeluruh dengan mengekalkan bangunan yang bersejarah dan memanfaatkan kelebihan Sungai Muar.
  
Baginda bertitah Bandar Muar merupakan satu kawasan yang kaya dengan kisah sejarah pentadbiran kerajaan dan pembangunan bandar itu yang tersusun telah bermula pada tahun 1880-an semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.
  
Titah baginda, sejak diumumkan sebagai Bandar Maharani pada 1887, Muar telah menjadi satu kawasan kegiatan ekonomi utama di negeri ini dan kesan pembangunan itu dapat dilihat dengan banyaknya bangunan lama dan bersejarah di Muar seperti bangunan Sultan Abu Bakar.
  
"Saya memang kerap datang ke Muar kerana saya suka dengan keadaan dan suasana persekitarannya yang aman dan tenteram serta dilengkapi dengan Sungai Muar yang mengalir tenang.
  
"Saya dapat merasakan yang Bandar Muar ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi sebuah bandar yang membangun lebih maju," titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-54 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
 
Ini merupakan julung kali istiadat itu diadakan di luar Johor Baharu. Turut berangkat isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda Sultan Johor.
  
Baginda menggesa kerajaan negeri supaya memulihara bangunan lama dan bersejarah yang ada di Bandar Muar dan mewartakannya sebagai bangunan warisan.
  
Sultan Johor turut mengingatkan rakyat di Muar supaya menjaga kebersihan bandar itu dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu kerajaan atau pihak majlis perbandaran semata-mata.
  
Selain itu baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana negeri Johor mengalami pembangunan yang pesat terutama di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang.
  
"Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan persekutuan kerana membantu kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan tersebut...Saya berharap agar kerajaan persekutuan terus bekerjsama dan  membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

"Mungkin selepas ini kawasan Bandar Muar pula menjadi kawasan pembangunan yang baru dengan mengggunakan kelebihan yang ada pada Sungai Muar," titah baginda.
  
Dengan pembangunan pesat itu, baginda juga berharap ia akan memberikan peluang pekerjaan yang sangat luas kepada rakyat Johor.
  
Baginda turut meminta supaya kerajaan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan Johor dalam mengagihkan kontrak kerja di negeri ini.
  
Selain itu Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya bersikap sederhana dan mengukuhkan perpaduan kaum serta keharmonian masyarakat selain mengamalkan sikap tolak ansur kerana ia penting dalam persekitaran hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.
  
"Jika ada perkara tidak menyenangkan segeralah berbincang dan selesaikan dengan baik. Jika ada perasaan cemburu dan dengki segeralah buangkannya jauh dari diri. Jika ada hubungan yang mula renggang, segeralah berunding dan rapatkan jalinan perpaduan. Ingatlah bahawa muafakat itu berkat," titah baginda.
    
Sempena hari keputeraan baginda seramai 404 menerima darjah kebesaran dan pingat dengan puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai penerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI).  - Bernama

1 ulasan:

  1. saya sangat2 nak mencadangkan,kalau boleh kawasan tapak sejarah kota buruk itu dibuat kubu juga disitu,sbg mengenang. keberadaan parameswara satu ketika dulu ! ! SEGERA ! ! !

    BalasPadam