Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Khamis, 7 November 2013

20,000 meriahkan Hari Keputeraan Sultan Johor

JOHOR BAHRU 31 Okt. - Sebanyak 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor yang akan diraikan selama tiga hari di Bandar Maharani, Muar dekat sini, bermula 22 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding 10,000 pengunjung dalam sambutan sama tahun lalu.

"Pada tahun kedua, kita akan menganjurkan perarakan bot berhias di Sungai Muar dan disertai 26 pasukan agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.

"Antara yang mengambil bahagian adalah pejabat-pejabat daerah, majlis perbandaran, Johor Corporation (JCorp) dan Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd.," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Haffiz Ahmad.

Siew Kiong berkata, kemuncak perarakan bot berhias itu akan dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 24 November ini di jeti utama Bandar Muar dengan diselang-seli pertunjukan bunga api dan persembahan kebudayaan.

Beliau berkata, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan sambutan antaranya pertandingan futsal, bola sepak, kayak, derma darah dan pameran kerjaya maritim.

"Sehubungan itu, kita menjemput orang ramai khususnya rakyat negeri ini untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada tahun ini.

"Bukan itu sahaja, kita juga berharap agensi pelancongan turut menawarkan pakej-pakej menarik untuk membawa masuk pelancong ke Bandar Maharani sepanjang tempoh sambutan ini berlangsung," katanya.

(Utusan Malaysia, 01 November 2013)

Jumaat, 1 November 2013

Perarakan Bot Berhias Di Sungai Muar 24 November 2013

JOHOR BAHARU, 31 Okt (Bernama) -- Perarakan bot berhias akan dianjurkan di Sungai Muar pada 24 Nov ini sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata perarakan bot berhias itu yang merupakan kali kedua diadakan kini merupakan antara acara utama pelancongan di Johor.

"Muar dipilih kerana daerah itu merupakan Bandar Diraja dan kini mempunyai potensi pelancongan yang menarik.

"Proses transformasi yang dilakukan oleh kerajaan bagi memperkenalkan Muar sebagai Bandar Diraja telah menyediakan pelbagai tempat yang harus dikunjungi oleh para pelancong di masa hadapan," katanya dalam sidang akhbar di sini Khamis.

Beliau berkata 26 bot berhias iaitu 20 daripada agensi kerajaan dan enam sektor swasta akan menyertai perarakan itu, dan 20,000 pengunjung dijangka membanjiri bandar Muar untuk menyaksikan acara itu.

Antara agensi kerajaan yang menyertainya ialah pejabat daerah seluruh negeri, majlis-majlis perbandaran dan agensi persekutuan di peringkat negeri manakala pihak swasta pula ialah Yayasan Pelajaran Johor Holdings, Uda Land (South), Syarikat Air Johor, Johor Corporation, Iskandar Investment dan Leong Hup.

Tee berkata peruntukan sejumlah RM30,000 telah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk penganjuran perarakan bot berhias tersebut.

"Kerajaan negeri juga berusaha memperlihatkan kemeriahan di Sungai Muar nanti setanding aktiviti sukan sungai di Mae-Nam Chao Phraya di Bangkok, Thailand," katanya.

Penganjuran sukan air bertaraf antarabangsa seperti regatta antarabangsa, kejohanan jet ski dan kejohanan memancing peringkat nasional juga berpotensi diadakan di Muar, katanya.

Tee berkata aktiviti sukan air yang dirancangkan itu diyakini dapat menarik pelancong tempatan dan asing.

-- BERNAMA, 31 Oktober 2013

Sabtu, 24 Ogos 2013

Program '1 Daerah 1 Muzium' di Johor

NUSAJAYA - Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengambil inisiatif mewujudkan program 'Satu Daerah Satu Muzium' sebagai usaha memelihara warisan dan budaya di negeri ini.
  
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata program itu memberi keutamaan kepada daerah yang masih belum mempunyai muzium atau galeri dengan dimulai pembinaan Memorial Datuk Usman Awang di Kota Tinggi, Muzium Pagoh dan Muzium Diraja Bandar Maharani di Muar.
  
"Memorial Datuk Usman Awang kini dalam peringkat penyediaan pelan cadangan. Ia dijangka melibatkan kos berjumlah RM1.5 juta, dimulakan tahun depan dan siap pada 2016," katanya pada sesi penggulungan membahaskan titah perasmian Sultan Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.
  
Zulkurnain berkata Muzium Pagoh yang melibatkan kos RM17.3 juta pula kini di peringkat menunggu peruntukan, pengumpulan maklumat serta pengisian dalam muzium manakala Muzium Diraja Bandar Maharani yang melibatkan kos RM4.5 juta sedang dalam tindakan pelan cadangan.
  
Beliau berkata sehingga kini YWJ memiliki empat muzium iaitu Muzium Tokoh dan Galeri Seni di Johor Baharu, Muzium Kota Tinggi serta Galeri Datuk Onn di Batu Pahat.
  
Zulkurnain berkata YWJ juga akan menubuhkan jawatankuasa khas warisan negeri bagi mempertimbangkan monumen dan tapak bersejarah di negeri ini untuk tujuan pemuliharaan bangunan.
  
Beliau berkata pada masa kini terdapat 208 bangunan bersejarah yang dikenal pasti di seluruh negeri. - Bernama