Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Jumaat, 15 November 2013

Aturcara Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Johor Tahun 2013


Tarikh Masa Aturcara Lokasi
18 Nov 2013 (Isnin) 9.30 pagi Raptai Majlis Perasmian Masjid Masjid As-Syakirin, Kampung Dato' Abdullah Jaafar, Bakri
2.30 petang Raptai Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran & Forum Perdana Ehwal Islam Masjid Sultan Ibrahim, Muar
20 Nov 2013 (Rabu) 4.30 petang Raptai Majlis Letak Kerja Dataran Tanjung Emas, Muar
21 Nov 2013 (Khamis) 9.15 pagi Majlis Letak Kerja Dataran Tanjung Emas, Muar
8.30 pagi Raptai Sambutan Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Johor Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Jalan Arab
6.15 petang Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran Masjid Sultan Ibrahim, Muar
22 Nov 2013 (Jumaat) 12.00 tengahari Majlis Perasmian Masjid As-Syakirin, Kampung Dato' Abdullah Jaafar, Bakri Masjid As-Syakirin, Kampung Dato' Abdullah Jaafar, Bakri
4.00 petang Pertandingan Menembak Jemputan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Johor Lapang Sasar Maktab Teknik PDRM, Bakri, Muar
4.30 petang Klinik Bola Sepak JDT Seliaan Majlis Sukan Negeri Johor Laman Petrie (padang di hadapan Sukan Negeri Johor Sekolah Tinggi Muar)
9.00 malam Forum Perdana Ehwal Islam Masjid Sultan Ibrahim, Muar
23 Nov 2013 (Sabtu) 8.00 pagi Pertandingan Golf Amal sempena Ulangtahun Hari Keputeraan D.Y.M.M. Sultan Johor 2013 Kelab Golf Tanjung Emas, Muar
8.30 pagi ISTIADAT MENGHORMATKAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN D.Y.M.M. SULTAN JOHOR (Pemeriksaan Barisan Kehormat, Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim dan Majlis Darjah Dan Pingat) Jalan Arab & Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim,Muar
9.00 pagi Pertandingan Bola Jaring (pusingan awal) Stadium Sultan Ibrahim, Muar
9.00 pagi Pertandingan Futsal (pusingan awal) Galaxy D'Futsal, Jalan Jonid, Muar
9.00 pagi Pertandingan Bola Sepak 9 Sepasukan (pusingan awal) Stadium Sultan Ibrahim, Muar
10.00 pagi - 4.30 petang Pameran Kerjaya Maritim oleh Jabatan Laut,APMM dll. agensi maritim [hari pertama] Jeti Jabatan Laut Muar
3.00 petang Majlis Jamuan Teh Dataran Tanjung Emas, Muar
9.00 malam Persembahan Kebudayaan dan Kesenian oleh Majlis Perbandaran Muar dan MKDM Pentas Hentian Bas Maharani
24 Nov 2013 (Ahad) 9.00 pagi Pertandingan Bola Jaring & Pertandingan Bola Sepak 9 Sepasukan (akhir) Stadium Sultan Ibrahim, Muar
9.00 pagi Pertandingan Futsal (akhir) Galaxy D'Futsal, Jalan Jonid, Muar
9.00 pagi Derma Darah dan Pameran Kesihatan oleh Jabatan Kesihatan dengan MAKSAK, Muar Balai Masjid Sultan Ibrahim, Muar
10.00 pagi - 4.30 petang Pameran Kerjaya Maritim oleh Jabatan Laut,APMM dll. agensi maritim [hari kedua] Jeti Jabatan Laut Muar
3.00 petang Larian Sempena Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Johor Tahun 2013 Stadium Sultan Ibrahim, Muar
7.00 malam Karnival Jambatan Sultan Ismail oleh Majlis Perbandaran Muar Di atas Jambatan Sultan Ismail, Muar
9.00 malam Persembahan Kebudayaan, Kesenian dan Artis Jemputan Oleh Yayasan Warisan Johor Pentas Hentian Bas Maharani, Muar
9.00 malam Perarakan Kapal dan Bot Berhias anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Johor dan Pertunjukan Bunga Api Di Sungai Muar arah ke Jambatan Sultan Ismail
25 Nov 2013 (Isnin) 4.30 petang MAJLIS MENURUNKAN BENDERA ISTIADAT "tanda Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan D.Y.M.M. Sultan Johor Tahun 2013 telah selamat disempurnakan" Dataran Tanjung Emas, Muar
29 Nov 2013 hingga 01 Dis 2013
 (Jumaat - Ahad)
8.30 pagi Karnival Sukan Air Sempena Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Johor (pertandingan kayak terbuka dan pelbagai acara sukan air) Sungai Muar
(Dataran Tanjung Emas)

Khamis, 7 November 2013

20,000 meriahkan Hari Keputeraan Sultan Johor

JOHOR BAHRU 31 Okt. - Sebanyak 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor yang akan diraikan selama tiga hari di Bandar Maharani, Muar dekat sini, bermula 22 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding 10,000 pengunjung dalam sambutan sama tahun lalu.

"Pada tahun kedua, kita akan menganjurkan perarakan bot berhias di Sungai Muar dan disertai 26 pasukan agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.

"Antara yang mengambil bahagian adalah pejabat-pejabat daerah, majlis perbandaran, Johor Corporation (JCorp) dan Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd.," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Haffiz Ahmad.

Siew Kiong berkata, kemuncak perarakan bot berhias itu akan dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 24 November ini di jeti utama Bandar Muar dengan diselang-seli pertunjukan bunga api dan persembahan kebudayaan.

Beliau berkata, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan sambutan antaranya pertandingan futsal, bola sepak, kayak, derma darah dan pameran kerjaya maritim.

"Sehubungan itu, kita menjemput orang ramai khususnya rakyat negeri ini untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada tahun ini.

"Bukan itu sahaja, kita juga berharap agensi pelancongan turut menawarkan pakej-pakej menarik untuk membawa masuk pelancong ke Bandar Maharani sepanjang tempoh sambutan ini berlangsung," katanya.

(Utusan Malaysia, 01 November 2013)

Jumaat, 1 November 2013

Perarakan Bot Berhias Di Sungai Muar 24 November 2013

JOHOR BAHARU, 31 Okt (Bernama) -- Perarakan bot berhias akan dianjurkan di Sungai Muar pada 24 Nov ini sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata perarakan bot berhias itu yang merupakan kali kedua diadakan kini merupakan antara acara utama pelancongan di Johor.

"Muar dipilih kerana daerah itu merupakan Bandar Diraja dan kini mempunyai potensi pelancongan yang menarik.

"Proses transformasi yang dilakukan oleh kerajaan bagi memperkenalkan Muar sebagai Bandar Diraja telah menyediakan pelbagai tempat yang harus dikunjungi oleh para pelancong di masa hadapan," katanya dalam sidang akhbar di sini Khamis.

Beliau berkata 26 bot berhias iaitu 20 daripada agensi kerajaan dan enam sektor swasta akan menyertai perarakan itu, dan 20,000 pengunjung dijangka membanjiri bandar Muar untuk menyaksikan acara itu.

Antara agensi kerajaan yang menyertainya ialah pejabat daerah seluruh negeri, majlis-majlis perbandaran dan agensi persekutuan di peringkat negeri manakala pihak swasta pula ialah Yayasan Pelajaran Johor Holdings, Uda Land (South), Syarikat Air Johor, Johor Corporation, Iskandar Investment dan Leong Hup.

Tee berkata peruntukan sejumlah RM30,000 telah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk penganjuran perarakan bot berhias tersebut.

"Kerajaan negeri juga berusaha memperlihatkan kemeriahan di Sungai Muar nanti setanding aktiviti sukan sungai di Mae-Nam Chao Phraya di Bangkok, Thailand," katanya.

Penganjuran sukan air bertaraf antarabangsa seperti regatta antarabangsa, kejohanan jet ski dan kejohanan memancing peringkat nasional juga berpotensi diadakan di Muar, katanya.

Tee berkata aktiviti sukan air yang dirancangkan itu diyakini dapat menarik pelancong tempatan dan asing.

-- BERNAMA, 31 Oktober 2013

Sabtu, 24 Ogos 2013

Program '1 Daerah 1 Muzium' di Johor

NUSAJAYA - Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengambil inisiatif mewujudkan program 'Satu Daerah Satu Muzium' sebagai usaha memelihara warisan dan budaya di negeri ini.
  
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata program itu memberi keutamaan kepada daerah yang masih belum mempunyai muzium atau galeri dengan dimulai pembinaan Memorial Datuk Usman Awang di Kota Tinggi, Muzium Pagoh dan Muzium Diraja Bandar Maharani di Muar.
  
"Memorial Datuk Usman Awang kini dalam peringkat penyediaan pelan cadangan. Ia dijangka melibatkan kos berjumlah RM1.5 juta, dimulakan tahun depan dan siap pada 2016," katanya pada sesi penggulungan membahaskan titah perasmian Sultan Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.
  
Zulkurnain berkata Muzium Pagoh yang melibatkan kos RM17.3 juta pula kini di peringkat menunggu peruntukan, pengumpulan maklumat serta pengisian dalam muzium manakala Muzium Diraja Bandar Maharani yang melibatkan kos RM4.5 juta sedang dalam tindakan pelan cadangan.
  
Beliau berkata sehingga kini YWJ memiliki empat muzium iaitu Muzium Tokoh dan Galeri Seni di Johor Baharu, Muzium Kota Tinggi serta Galeri Datuk Onn di Batu Pahat.
  
Zulkurnain berkata YWJ juga akan menubuhkan jawatankuasa khas warisan negeri bagi mempertimbangkan monumen dan tapak bersejarah di negeri ini untuk tujuan pemuliharaan bangunan.
  
Beliau berkata pada masa kini terdapat 208 bangunan bersejarah yang dikenal pasti di seluruh negeri. - Bernama

Selasa, 16 April 2013

Jambatan Sultan Ismail Muar

(Sempena Ulangtahun ke-46 Perasmian Jambatan Sultan Ismail Muar pada 16 April 1967)

Jambatan Sultan Ismail berhampiran Laman Maharani sekarang

Jambatan Sultan Ismail merupakan jambatan pertama yang dibina merentangi Sungai Muar yang menghubungkan Bandar Maharani dengan Tanjung Agas.

Sebelum pembinaan jambatan ini, penduduk yang ingin ke Seberang (panggilan untuk ke Tanjung Agas dan Melaka) terpaksa menyeberangi Sungai Muar menggunakan kemudahan feri yang dipanggil Penambang. Penambang atau feri ini mula beroperasi sekitar tahun 1890 sejak Muar dibuka dengan rasmi oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Oleh kerana pembangunan pesat ketika itu, Penambang dirasakan tidak dapat menampung kenderaan yang ingin menyeberang Sungai Muar. Perjalanan menggunakan feri ini agak memakan masa malah membahayakan terutamanya pada musim banjir. Oleh itu, cadangan telah dibuat untuk membina sebuah jambatan yang akan menghubungkan Bandar Muar ke Tanjung Agas dan Melaka.

Sejarah

Pada asalnya, kerajaan hanya bercadang untuk membina jambatan merentangi Sungai Batu Pahat sahaja. Tetapi setelah menerima desakan dari penduduk Muar, maka kerajaan menambah cadangan membina jambatan bagi Muar dan Batu Pahat. Cadangan untuk membina kedua-dua jambatan itu telah dimasukkan di dalam Rancangan Malaya Kedua (1961-1966) oleh Jabatan Kerja Raya dan diumumkan oleh Menteri Kerjaraya ketika itu, Tun V.T Sambanthan.

Kerajaan kemudiannya telah membuka pelawaan tender pada tahun 1960 dan menerima 25 tender dari 10 firma yang berminat di mana dua daripadanya merupakan syarikat dari Perancis yang berpangkalan di sini. Kerajaan terpaksa menunggu hampir 4 tahun bagi mendapatkan pembiayaan bagi membina jambatan tersebut.

Akhirnya, pada bulan Julai 1964 kerajaan telah mengumumkan dua buah syarikat tempatan iaitu Wing Co. Ltd dan Development Services Ltd telah memenangi tender berjumlah RM5.2 juta bagi kedua-dua buah jambatan Muar & Batu Pahat.

Kos Pembinaan

Pada mulanya, kerajaan menganggarkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi pembinaan kedua-dua buah jambatan tersebut dan akhirnya kerajaan berjaya mendapatkan pembiayaan sebanyak RM9 juta hasil pinjaman dari Chase Manhattan Bank.

Bagi Jambatan Sultan Ismail Muar, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.25 juta bagi kerja-kerja pembinaannya. Kerja-kerja pembinaanya telah dimulakan pada penghujung tahun 1965 dan siap sepenuhnya pada awal tahun 1967. Ianya dibina hanya 1.5 kilometer dari Tangga Batu iaitu Terminal Feri Penambang Muar.


Tangga Batu, terminal feri Penambang Muar

Kerja-kerja Pembinaan

Jambatan sepanjang 1,264 kaki (385 meter) dibina dengan keluasan 24 kaki (7 meter) bagi lorong kenderaan, 8 kaki (2 meter) bagi laluan motosikal/basikal, dan 5 kaki bagi lorong pejalan kaki. Ianya boleh menampung bebanan sebanyak 500 tan bagi setiap 100 kaki (30 meter).

Bagi menyiapkan jambatan ini, 4 pontun digunakan untuk membawa pembancuh konkrit, simen, pasir dan kren setinggi 120 dengan lif seberat 50 tan di mana sebanyak 2 buah jeti dibina khusus untuk memuatkan acuan rasuk konkrit.

Kerja-kerja memasang rasuk konkrit (Sumber : Akhbar The Straits Times Singapura)

Jambatan tersebut dibina di atas 48 cerucuk besi khas yang diimport dari Jerman dan diperkuat dengan 82 cerucuk konkrit. Dianggarkan lebih daripada 9,000 meter padu konkrit dan 2100 tan keluli serta tenaga kerja sebanyak 130 orang telah digunakan ketika pembinaan jambatan tersebut.

Dengan pembinaan jambatan ini, pengguna jalan raya dari Johor Bahru ke Melaka ketika itu telah menjimatkan lebih kurang 64 km berbanding melalui jalan Segamat-Tangkak-Jasin.

Bulatan Jalan Yahya berhampiran Padang Nyiru (sekarang bulatan ini telah digantikan dengan lampu isyarat)

Untuk menangani kebanjiran lalulintas akibat dari pembinaan jambatan tersebut, 4 buah bulatan (roundabout) telah dibina dengan kos sebanyak RM1 juta iaitu Bulatan Jalan Yahya, Bulatan Jalan Bakri, Bulatan Jalan Sulaiman dan Bulatan Jalan Khalidi.

Perasmian

DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim sedang menarik tirai merasmikan Jambatan Sultan Ismail

Jambatan Muar telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada hari Sabtu 16 April 1967  jam 10.30 pagi dan dinamakan secara rasmi sebagai Jambatan Sultan Ismail. Perasmian tersebut telah disaksikan oleh ribuan rakyat yang pertama kali dibuka dan dapat menyeberangi Sungai Muar menggunakan jambatan tersebut.

Orang ramai membanjiri sekitar Jambatan Sultan Ismail selepas pembukaannya pada 16 April 1967.

Sejurus dengan perasmian jambatan tersebut, perkhidmatan feri atau Penambang Muar telah ditamatkan berkuatkuasa tengah malam Jumaat 15 April 1967.

Tol

Jambatan Sultan Ismail Muar merupakan jambatan kedua di Malaysia ketika itu yang mempunyai tol selepas Jambatan Yahya Petra di Kelantan. Sebuah plaza tol berharga RM80,000 telah dibina di Tanjung Agas bagi mengutip tol bagi menampung kos pembinaan jambatan tersebut.

Tol Jambatan Sultan Ismail (1974) berhampiran Kawasan Perindustrian Tanjung Agas

Pada mulanya, kerajaan mengumumkan bahawa harga tol yang dikenakan adalah sebanyak RM0.25 bagi motosikal, RM0.75 bagi kereta dan RM1.75 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas.

Selepas pembukaanya harga tol telah dinaikkan kepada RM0.50 bagi motosikal, RM1.50 bagi kereta dan teksi manakala RM3.50 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas. Ini telah mengundang bantahan dari penduduk terutamanya pengusaha bas dan teksi di mana pada mulanya mereka memulaukan penggunaan jambatan tersebut.

Setelah pelbagai bantahan dibuat terutamanya daripada peniaga dan sektor industri, maka mulai 1 Julai 1971, Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengumumkan pengurangan tol kepada RM0.50 bagi kereta dan RM1.00 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas manakala bagi pengguna motosikal ianya adalah percuma.

Kemudian pada suatu lawatan Allahyarham Tun Abdul Razak ke Muar pada Mei 1975, beliau mengumumkan bahawa tol yang dikenakan bagi Jambatan Sultan Ismail Muar telah dimansuhkan.

Bersejarah

Pada 25 November 2012, bersempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja, buat pertama kali dalam sejarah, selepas 45 tahun dibuka untuk lalulintas, Jambatan Sultan Ismail telah ditutup selama lebih kurang 12 jam bermula 3 petang hingga 5 pagi.

Papantanda pemberitahu Jambatan Sultan Ismail ditutup sementara

Penutupan jambatan tersebut bagi membolehkan rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api di Jambatan Sultan Ismail. Selain acara tersebut, pelbagai gerai telah dibuka bagi membolehkan orang ramai bersantai di atas jambatan tersebut.

DYMM Sultan Ibrahim juga telah mencemar duli bersama-sama rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias di atas jambatan tersebut.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail yang mula dibuka kepada orang ramai mulai jam 5 petang hingga tengah malam. 
 
Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim bersama-sama Menteri Besar Johor & Ketua Polis Johor serta rakyat jelata bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail

Ahad, 24 Mac 2013

Bangunan Pejabat Kastam Muar


Bangunan Pejabat Kastam Muar sekitar tahun awal tahun 1980-an sebelum pengubahsuaian

Bangunan Pejabat Kastam Muar yang terletak di Jalan Maharani telah dibina pada tahun 1909, 25 tahun selepas pembukaan Muar pada 1884. Ketika itu, bangunan ini dianggap yang paling moden di Bandar Maharani.

Sebelum itu, sebuah bangunan kayu yang dinamakan Pejabat Cukai & Kastam dibina di atas tapak asal yang sama. Ketika itu, di sebelah kiri bangunan tersebut terdapat Pejabat Pos dan Pejabat Syahbandar. Bangunan kayu yang dibina tidak terjamin keselamatannya dan kerajaan telah menggantikan bangunan kayu tersebut kepada bangunan batu seperti yang ada sekarang

Bangunan yang dibina itu juga menyediakan 3 buah gudang bagi menempatkan barang-barang yang dirampas kerana tidak membayar cukai.

Dengan adanya Pejabat Kastam ini, ramai ahli perniagaan dan pedangan dari China, Singapura, India, Indonesia dan negara-negara Timur Tengah datang ke Muar untuk menjalankan urusan perniagaan.

Bangunan Pejabat Kastam Muar

Salah satu keistimewaan bangunan kastam ini ialah terdapat sebuah jam besar di atas menaranya.

Jam ini adalah dari jenis Clock Tower ini diimport dari Britain (England) dari jenis Taylor Lounghboro Brand model tahun 1919.

Jam ini dilengkapi dengan loceng dan akan mengeluarkan bunyi gong bagi menandakan waktu. Jam ini menjadi panduan utama untuk penduduk sekitar mengetahui masa kerana pada masa itu tidak ramai yang mempunyai jam sendiri.

Tiga agensi dipertanggungjawabkan bagi menyelenggara menara jam tersebut ketika itu iaitu:
  1. Electric Engineer Central Electrik Muar Depot
  2. Secretery Town Board Muar
  3. Senior Executive Engineer PWD Muar


Setelah lebih 100 tahun sejak bangunan ini dibina, terdapat beberapa pengubahsuaian telah dilakukan bagi memulihara bangunan bersejarah ini. Antara yang ketara ialah kubah di atas menara jam telah digantikan dengan kubah berbentuk bawang dan pintu serta tingkap yang lebih moden.

Hari ini, bangunan bersejarah ini masih lagi digunakan dan telah dijadikan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Muar selepas Pejabat Kastam Diraja Malaysia Cawangan Muar berpindah ke lokasi baru di Jalan Bakri.

Bangunan yang berusia 104 tahun (2013) ini bolehlah dianggap sebagai bangunan tertua dan masih lagi berfungsi di Bandar Maharani Bandar Diraja dan diharap ianya dapat disenaraikan sebagai salah satu bangunan Warisan Kebangsaan Malaysia.

Ahad, 6 Januari 2013

Kereta Kuda Bandar Maharani

Keunikan Muar bukan sahaja terletak pada sejarahnya sahaja, tetapi juga dari pelbagai segi seperti budaya, makanan, tokoh dan juga pengangkutan.

Bercerita tentang pengangkutan, Muar juga kaya dengan sejarah pelbagai pengangkutan yang pernah digunakan oleh penduduknya. Sebut sahaja feri penambang, maka sudah pasti Muar akan dikaitkan dengan sejarah feri penambang Muar. Begitu juga dengan beca, maka serta merta akan mengaitkan dengan Beca Muar yang berwarna hijau, merah, hitam dan kuning.

Ada lagi sejenis pengangkutan yang agak kurang menonjol tetapi dikaitkan dengan sejarah pengangkutan di Muar iaitu Kereta Kuda Bandar Maharani.

 Sekeping gambar lama membuktikan kewujudan pengangkutan kereta kuda ini 
di Bandar Maharani suatu ketika dahulu.

Jika anda pernah melawat ke Muzium Negara, maka anda mungkin pernah melihat bagaimana rupa sebenar Kereta Kuda Bandar Maharani. Ianya dipamerkan di perkarangan Muzium Negara bersama-sama Beca Muar.

 Kereta Kuda Bandar Maharani yang sebenar seperti dalam gambar lama di atas

Keunikan Kereta Kuda Bandar Maharani ini diabadikan dalam penerangan tentang Kereta Kuda Bandar Maharani seperti berikut :


Kereta kuda jenis ini adalah kenderaan yang digunakan oleh masyarakat Cina di Bandar Maharani, Johor sekitar tahun 1910. Pada awalnya ia digunakan untuk bersiar-siar dan melakukan aktiviti harian oleh pemiliknya kemudian telah bertukar menjadi pengangkutan awam.

Kereta kuda Johor akan ditarik oleh seekor kuda padi dengan kadar tambang sebanyak lima sen (RM0.05) bagi sebatu perjalanan iaitu kira-kira 1.6km. Oleh kerana zaman telah berubah maka penggunaanya juga telah ditamatkan kerana tidak sesuai dengan masa kini, selain tidak efisien kepada penggunaannya.


Sememangnya Muar dan Bandar Maharani pada suatu ketika dahulu dipenuhi dengan pelbagai lipatan kisah sejarah yang berwarna warni. Sebagai generasi baharu, kita sepatutnya berbangga dan menghargai setiap bentuk dan warisan yang pernah wujud di dalam sejarah Muar agak ianya terus dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Kereta Kuda Bandar Maharani telah membuktikan bahawa Bandar Maharani suatu waktu dahulu merupakan sebuah bandar moden yang dilengkapi dengan pelbagai infrastuktur terkini pada zamannya sesuai dengan wawasan peneraju ulung Johor Moden iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar bersama-sama arkitek terhebat Datuk Bentara Luar, Allahyarham Dato Muhammad Salleh bin Perang. Al-Fatihah dan semoga Allah mengampunkan segala dosa mereka dan dicucuri rahmat ke atas roh mereka serta ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin.....