MUAR - Upacara sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor ke-54 akan diadakan dengan penuh adat istiadat Kesultanan Johor bermula dengan majlis letak kerja yang dilakukan di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
  
Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, upacara itu akan mengulang kembali sejarah 117 tahun lepas semasa sambutan hari keputeraan nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 1 Mac 1895 yang sebelum itu dikenali sebagai Hari Kerajaan, juga diadakan di bandar Muar.
  
"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan seorang yang suka menghidupkan kembali kebudayaan dan istiadat Kesultanan Johor yang telah lama.
  
"Untuk sambutan kali ini baginda lakukan dengan penuh adat istiadat Kesultanan Johor, kata Abdul Rahim dalam satu sidang media khas sempena majlis sambutan ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor dan majlis perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di sini.
  
Katanya, dalam majlis letak kerja itu bendera khas dinaikkan sebagai menandakan permulaan kerja sambutan hari keputeraan diikuti dengan doa dan tembakan meriam tiga das.
  
Abdul Rahim berkata bendera itu akan diturunkan enam hari kemudian setelah selesai upacara sambutan dilakukan.
  
Menurut beliau, kali terakhir upacara itu diadakan adalah pada 1922 iaitu semasa majlis perkahwinan Tengku Temenggung Ahmad.
  
Acara kemuncak adalah pada 22 November ini di mana Sultan Johor akan berangkat dari Istana Tanjung berarak ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar untuk Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim serta majlis anugerah darjah dan pingat.
  
Upacara itu akan dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran di mana Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mewakili Sultan Johor.
  
Abdul Rahim berkata tembakan meriam 21 das akan dilepaskan sebaik nama baginda disebut dalam bacaan doa oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsudin.
 
Beliau berkata, keberangkatan Sultan Johor akan disambut dengan perbarisan kehormat Askar Timbalan Setia yang akan diketuai sendiri oleh anakanda baginda Tunku Abdul Rahman.
  
Ia diikuti dengan Majlis Teriman iaitu istiadat perkumpulan orang kenamaan dan kerabat diraja dan ucap tahniah kepada baginda yang akan diketuai sendiri oleh Tengku Mahkota Johor.
  
Majlis diikuti dengan ucapan tahniah oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang akan diiringi wakil pemimpin kaum Cina dan India mewakili rakyat Johor.
  
Baginda Sultan kemudian dijangka menganugerahkan gelaran kepada anakanda baginda dengan menggunakan gelaran zaman Kesultan Melayu lama seperti Laksamana.
  
Satu majlis mengadap takzim akan diadakan selepas itu dan istiadat pengurniaan pingat serta majlis jamuan teh.
  
Abdul Rahim berkata untuk majlis yang akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim itu, pihaknya mengalukan kehadiran rakyat jelata dengan berpakaian sesuai dan menyediakan 60 gerai pelbagai jenis juadah tradisi Johor. - Bernama