Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Jumaat, 18 Mei 2012

Beca Muar

Terdapat pelbagai jenis pengangkutan yang digunakan penduduk di Daerah Muar suatu ketika dahulu. Antara yang paling popular ialah beca.

Beca merupakan salah satu pengangkutan yang paling popular sejak sebelum merdeka lagi sehingga dikenali sebagai Raja Jalan Raya.

Pernah dilaporkan di dalam akhbar sekitar tahun 1960-an bahawa pihak Majlis Daerah Muar telah meluluskan 11 tempat parkir untuk beca di kawasan bandar Muar.

Tiga dekad lalu dilaporkan terdapat berpuluh-puluh malah beratus-ratus beca di Muar ketika zaman kegemilangannya, tetapi pada hari ini (2012) mungkin tidak sampai 10 beca yang masih kelihatan di jalan-jalan raya sekitar Muar.

Kemajuan Muar menyebabkan Beca hanya sebagai pusaka peninggalan sejarah yang masih tinggal pada hari ini. Kebanyakan yang mengayuh beca juga hanya terdiri daripada warga emas yang telah menjadikan beca sebagai sumber pendapatan mereka ketika mereka masih muda.

Di Muzium Negara, terdapat sebuah beca yang digelar sebagai Beca Parit Jawa dipamerkan di sana. Keunikan beca Muar ini diabadikan dalam penerangan tentang beca Muar seperti berikut :

Beca roda tiga ini berasal dari Parit Jawa, Muar, Johor. Warna hijau, merah, hitam dan kuning menjadi warna kegemaran zaman itu. Kusyennya diperbuat daripada sabut kelapa dan dilengkapkan dengan penyandar. Beca digunakan untuk membawa dua penumpang dewasa dan seorang atau dua orang kanak-kanak. Bumbungnya diperbuat daripada kanvas yang boleh dibuka atau ditutup mengikut keperluan. Pada masa kini, ia tidak lagi digunakan dan tidak menyerupai beca-beca yang terdapat di Pulau Pinang dan Melaka.
Selain itu, untuk mengabadikan keunikan beca Muar sebagai satu tarikan pelancongan, sebuah binaan gergasi Beca Muar telah dibina oleh Majlis Perbandaran Muar pada tahun 1999 dengan kos RM50,000.00.

Replika Beca Muar ini setinggi 7 meter dibina di Taman Rekreasi Kesang, di sempadan Kesang, Muar (sekarang Ledang) - Sungai Rambai,Melaka tidak jauh dari bandar Maharani Muar. Ia kini menjadi tarikan utama pengunjung.

Diharapkan agar pada masa hadapan, ada pihak-pihak yang berminat mempopularkan kembali perkhidmatan beca bukan sekadar menjadi tarikan pelancongan di Daerah Muar tetapi juga mengekalkan warisan unik yang pernah wujud di Daerah Muar khususnya dan di negeri Johor amnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan