Galeri Kesang di bangunan Kompleks Penghulu itu direka khas mengikut kesesu­aian dan susun atur sebuah galeri sekali gus memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung.
Penghulu Mukim Kesang, Ab. Majid Mistam berkata, pemilihan lokasi berkenaan timbul sejak empat tahun lalu apabila pihaknya sering menerima kunjungan daripada pelbagai agensi dan individu yang mahu mendapatkan bahan sejarah berkaitan Kesang dan negeri ini.

“Kami kerap menerima kunjungan orang ramai terutamanya dalam kalangan warga sekolah yang mahu mendapatkan input mengenai sejarah Kesang.

“Jadi, hasil kesepakatan dan perbincangan bersama-sama beberapa pihak termasuk penduduk maka kini wujudlah sebuah Galeri Kesang yang berkeluasan 80 x 30 kaki persegi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian galeri berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, Galeri Kesang menempatkan empat kategori sejarah iaitu berkaitan Raja-raja Johor, pentadbiran kerajaan negeri, pembangunan Mukim Kesang serta pameran artifak-artifak lama.

“Kira-kira RM120,000 diperuntukkan untuk menghias semula galeri ini termasuk mengganti semula beberapa struktur yang tidak sesuai dan rosak,” katanya sambil memaklumkan galeri itu dibuka secara percuma mengikut waktu pejabat dan ditu­tup pada cuti umum serta hujung minggu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, pembukaan galeri itu bakal menjadi permulaan dalam perkembangan sejarah di daerah Tangkak sejajar dengan perancangan mereka untuk mewujudkan sebuah muzium kelak.

"Mukim Kesang mempunyai banyak kelebihan berdasarkan kisah-kisah lama kerana kawasan ini merupakan antara mukim tertua di Johor. Maka, banyak sejarah yang berlaku termasuk kisah berkaitan Sultan Johor dengan mukim ini suatu ketika dahulu," katanya.