Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Selasa, 16 April 2013

Jambatan Sultan Ismail Muar

(Sempena Ulangtahun ke-46 Perasmian Jambatan Sultan Ismail Muar pada 16 April 1967)

Jambatan Sultan Ismail berhampiran Laman Maharani sekarang

Jambatan Sultan Ismail merupakan jambatan pertama yang dibina merentangi Sungai Muar yang menghubungkan Bandar Maharani dengan Tanjung Agas.

Sebelum pembinaan jambatan ini, penduduk yang ingin ke Seberang (panggilan untuk ke Tanjung Agas dan Melaka) terpaksa menyeberangi Sungai Muar menggunakan kemudahan feri yang dipanggil Penambang. Penambang atau feri ini mula beroperasi sekitar tahun 1890 sejak Muar dibuka dengan rasmi oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Oleh kerana pembangunan pesat ketika itu, Penambang dirasakan tidak dapat menampung kenderaan yang ingin menyeberang Sungai Muar. Perjalanan menggunakan feri ini agak memakan masa malah membahayakan terutamanya pada musim banjir. Oleh itu, cadangan telah dibuat untuk membina sebuah jambatan yang akan menghubungkan Bandar Muar ke Tanjung Agas dan Melaka.

Sejarah

Pada asalnya, kerajaan hanya bercadang untuk membina jambatan merentangi Sungai Batu Pahat sahaja. Tetapi setelah menerima desakan dari penduduk Muar, maka kerajaan menambah cadangan membina jambatan bagi Muar dan Batu Pahat. Cadangan untuk membina kedua-dua jambatan itu telah dimasukkan di dalam Rancangan Malaya Kedua (1961-1966) oleh Jabatan Kerja Raya dan diumumkan oleh Menteri Kerjaraya ketika itu, Tun V.T Sambanthan.

Kerajaan kemudiannya telah membuka pelawaan tender pada tahun 1960 dan menerima 25 tender dari 10 firma yang berminat di mana dua daripadanya merupakan syarikat dari Perancis yang berpangkalan di sini. Kerajaan terpaksa menunggu hampir 4 tahun bagi mendapatkan pembiayaan bagi membina jambatan tersebut.

Akhirnya, pada bulan Julai 1964 kerajaan telah mengumumkan dua buah syarikat tempatan iaitu Wing Co. Ltd dan Development Services Ltd telah memenangi tender berjumlah RM5.2 juta bagi kedua-dua buah jambatan Muar & Batu Pahat.

Kos Pembinaan

Pada mulanya, kerajaan menganggarkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi pembinaan kedua-dua buah jambatan tersebut dan akhirnya kerajaan berjaya mendapatkan pembiayaan sebanyak RM9 juta hasil pinjaman dari Chase Manhattan Bank.

Bagi Jambatan Sultan Ismail Muar, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.25 juta bagi kerja-kerja pembinaannya. Kerja-kerja pembinaanya telah dimulakan pada penghujung tahun 1965 dan siap sepenuhnya pada awal tahun 1967. Ianya dibina hanya 1.5 kilometer dari Tangga Batu iaitu Terminal Feri Penambang Muar.


Tangga Batu, terminal feri Penambang Muar

Kerja-kerja Pembinaan

Jambatan sepanjang 1,264 kaki (385 meter) dibina dengan keluasan 24 kaki (7 meter) bagi lorong kenderaan, 8 kaki (2 meter) bagi laluan motosikal/basikal, dan 5 kaki bagi lorong pejalan kaki. Ianya boleh menampung bebanan sebanyak 500 tan bagi setiap 100 kaki (30 meter).

Bagi menyiapkan jambatan ini, 4 pontun digunakan untuk membawa pembancuh konkrit, simen, pasir dan kren setinggi 120 dengan lif seberat 50 tan di mana sebanyak 2 buah jeti dibina khusus untuk memuatkan acuan rasuk konkrit.

Kerja-kerja memasang rasuk konkrit (Sumber : Akhbar The Straits Times Singapura)

Jambatan tersebut dibina di atas 48 cerucuk besi khas yang diimport dari Jerman dan diperkuat dengan 82 cerucuk konkrit. Dianggarkan lebih daripada 9,000 meter padu konkrit dan 2100 tan keluli serta tenaga kerja sebanyak 130 orang telah digunakan ketika pembinaan jambatan tersebut.

Dengan pembinaan jambatan ini, pengguna jalan raya dari Johor Bahru ke Melaka ketika itu telah menjimatkan lebih kurang 64 km berbanding melalui jalan Segamat-Tangkak-Jasin.

Bulatan Jalan Yahya berhampiran Padang Nyiru (sekarang bulatan ini telah digantikan dengan lampu isyarat)

Untuk menangani kebanjiran lalulintas akibat dari pembinaan jambatan tersebut, 4 buah bulatan (roundabout) telah dibina dengan kos sebanyak RM1 juta iaitu Bulatan Jalan Yahya, Bulatan Jalan Bakri, Bulatan Jalan Sulaiman dan Bulatan Jalan Khalidi.

Perasmian

DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim sedang menarik tirai merasmikan Jambatan Sultan Ismail

Jambatan Muar telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada hari Sabtu 16 April 1967  jam 10.30 pagi dan dinamakan secara rasmi sebagai Jambatan Sultan Ismail. Perasmian tersebut telah disaksikan oleh ribuan rakyat yang pertama kali dibuka dan dapat menyeberangi Sungai Muar menggunakan jambatan tersebut.

Orang ramai membanjiri sekitar Jambatan Sultan Ismail selepas pembukaannya pada 16 April 1967.

Sejurus dengan perasmian jambatan tersebut, perkhidmatan feri atau Penambang Muar telah ditamatkan berkuatkuasa tengah malam Jumaat 15 April 1967.

Tol

Jambatan Sultan Ismail Muar merupakan jambatan kedua di Malaysia ketika itu yang mempunyai tol selepas Jambatan Yahya Petra di Kelantan. Sebuah plaza tol berharga RM80,000 telah dibina di Tanjung Agas bagi mengutip tol bagi menampung kos pembinaan jambatan tersebut.

Tol Jambatan Sultan Ismail (1974) berhampiran Kawasan Perindustrian Tanjung Agas

Pada mulanya, kerajaan mengumumkan bahawa harga tol yang dikenakan adalah sebanyak RM0.25 bagi motosikal, RM0.75 bagi kereta dan RM1.75 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas.

Selepas pembukaanya harga tol telah dinaikkan kepada RM0.50 bagi motosikal, RM1.50 bagi kereta dan teksi manakala RM3.50 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas. Ini telah mengundang bantahan dari penduduk terutamanya pengusaha bas dan teksi di mana pada mulanya mereka memulaukan penggunaan jambatan tersebut.

Setelah pelbagai bantahan dibuat terutamanya daripada peniaga dan sektor industri, maka mulai 1 Julai 1971, Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengumumkan pengurangan tol kepada RM0.50 bagi kereta dan RM1.00 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas manakala bagi pengguna motosikal ianya adalah percuma.

Kemudian pada suatu lawatan Allahyarham Tun Abdul Razak ke Muar pada Mei 1975, beliau mengumumkan bahawa tol yang dikenakan bagi Jambatan Sultan Ismail Muar telah dimansuhkan.

Bersejarah

Pada 25 November 2012, bersempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja, buat pertama kali dalam sejarah, selepas 45 tahun dibuka untuk lalulintas, Jambatan Sultan Ismail telah ditutup selama lebih kurang 12 jam bermula 3 petang hingga 5 pagi.

Papantanda pemberitahu Jambatan Sultan Ismail ditutup sementara

Penutupan jambatan tersebut bagi membolehkan rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api di Jambatan Sultan Ismail. Selain acara tersebut, pelbagai gerai telah dibuka bagi membolehkan orang ramai bersantai di atas jambatan tersebut.

DYMM Sultan Ibrahim juga telah mencemar duli bersama-sama rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias di atas jambatan tersebut.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail yang mula dibuka kepada orang ramai mulai jam 5 petang hingga tengah malam. 
 
Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim bersama-sama Menteri Besar Johor & Ketua Polis Johor serta rakyat jelata bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail

Ahad, 24 Mac 2013

Bangunan Pejabat Kastam Muar


Bangunan Pejabat Kastam Muar sekitar tahun awal tahun 1980-an sebelum pengubahsuaian

Bangunan Pejabat Kastam Muar yang terletak di Jalan Maharani telah dibina pada tahun 1909, 25 tahun selepas pembukaan Muar pada 1884. Ketika itu, bangunan ini dianggap yang paling moden di Bandar Maharani.

Sebelum itu, sebuah bangunan kayu yang dinamakan Pejabat Cukai & Kastam dibina di atas tapak asal yang sama. Ketika itu, di sebelah kiri bangunan tersebut terdapat Pejabat Pos dan Pejabat Syahbandar. Bangunan kayu yang dibina tidak terjamin keselamatannya dan kerajaan telah menggantikan bangunan kayu tersebut kepada bangunan batu seperti yang ada sekarang

Bangunan yang dibina itu juga menyediakan 3 buah gudang bagi menempatkan barang-barang yang dirampas kerana tidak membayar cukai.

Dengan adanya Pejabat Kastam ini, ramai ahli perniagaan dan pedangan dari China, Singapura, India, Indonesia dan negara-negara Timur Tengah datang ke Muar untuk menjalankan urusan perniagaan.

Bangunan Pejabat Kastam Muar

Salah satu keistimewaan bangunan kastam ini ialah terdapat sebuah jam besar di atas menaranya.

Jam ini adalah dari jenis Clock Tower ini diimport dari Britain (England) dari jenis Taylor Lounghboro Brand model tahun 1919.

Jam ini dilengkapi dengan loceng dan akan mengeluarkan bunyi gong bagi menandakan waktu. Jam ini menjadi panduan utama untuk penduduk sekitar mengetahui masa kerana pada masa itu tidak ramai yang mempunyai jam sendiri.

Tiga agensi dipertanggungjawabkan bagi menyelenggara menara jam tersebut ketika itu iaitu:
  1. Electric Engineer Central Electrik Muar Depot
  2. Secretery Town Board Muar
  3. Senior Executive Engineer PWD Muar


Setelah lebih 100 tahun sejak bangunan ini dibina, terdapat beberapa pengubahsuaian telah dilakukan bagi memulihara bangunan bersejarah ini. Antara yang ketara ialah kubah di atas menara jam telah digantikan dengan kubah berbentuk bawang dan pintu serta tingkap yang lebih moden.

Hari ini, bangunan bersejarah ini masih lagi digunakan dan telah dijadikan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Muar selepas Pejabat Kastam Diraja Malaysia Cawangan Muar berpindah ke lokasi baru di Jalan Bakri.

Bangunan yang berusia 104 tahun (2013) ini bolehlah dianggap sebagai bangunan tertua dan masih lagi berfungsi di Bandar Maharani Bandar Diraja dan diharap ianya dapat disenaraikan sebagai salah satu bangunan Warisan Kebangsaan Malaysia.

Ahad, 6 Januari 2013

Kereta Kuda Bandar Maharani

Keunikan Muar bukan sahaja terletak pada sejarahnya sahaja, tetapi juga dari pelbagai segi seperti budaya, makanan, tokoh dan juga pengangkutan.

Bercerita tentang pengangkutan, Muar juga kaya dengan sejarah pelbagai pengangkutan yang pernah digunakan oleh penduduknya. Sebut sahaja feri penambang, maka sudah pasti Muar akan dikaitkan dengan sejarah feri penambang Muar. Begitu juga dengan beca, maka serta merta akan mengaitkan dengan Beca Muar yang berwarna hijau, merah, hitam dan kuning.

Ada lagi sejenis pengangkutan yang agak kurang menonjol tetapi dikaitkan dengan sejarah pengangkutan di Muar iaitu Kereta Kuda Bandar Maharani.

 Sekeping gambar lama membuktikan kewujudan pengangkutan kereta kuda ini 
di Bandar Maharani suatu ketika dahulu.

Jika anda pernah melawat ke Muzium Negara, maka anda mungkin pernah melihat bagaimana rupa sebenar Kereta Kuda Bandar Maharani. Ianya dipamerkan di perkarangan Muzium Negara bersama-sama Beca Muar.

 Kereta Kuda Bandar Maharani yang sebenar seperti dalam gambar lama di atas

Keunikan Kereta Kuda Bandar Maharani ini diabadikan dalam penerangan tentang Kereta Kuda Bandar Maharani seperti berikut :


Kereta kuda jenis ini adalah kenderaan yang digunakan oleh masyarakat Cina di Bandar Maharani, Johor sekitar tahun 1910. Pada awalnya ia digunakan untuk bersiar-siar dan melakukan aktiviti harian oleh pemiliknya kemudian telah bertukar menjadi pengangkutan awam.

Kereta kuda Johor akan ditarik oleh seekor kuda padi dengan kadar tambang sebanyak lima sen (RM0.05) bagi sebatu perjalanan iaitu kira-kira 1.6km. Oleh kerana zaman telah berubah maka penggunaanya juga telah ditamatkan kerana tidak sesuai dengan masa kini, selain tidak efisien kepada penggunaannya.


Sememangnya Muar dan Bandar Maharani pada suatu ketika dahulu dipenuhi dengan pelbagai lipatan kisah sejarah yang berwarna warni. Sebagai generasi baharu, kita sepatutnya berbangga dan menghargai setiap bentuk dan warisan yang pernah wujud di dalam sejarah Muar agak ianya terus dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Kereta Kuda Bandar Maharani telah membuktikan bahawa Bandar Maharani suatu waktu dahulu merupakan sebuah bandar moden yang dilengkapi dengan pelbagai infrastuktur terkini pada zamannya sesuai dengan wawasan peneraju ulung Johor Moden iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar bersama-sama arkitek terhebat Datuk Bentara Luar, Allahyarham Dato Muhammad Salleh bin Perang. Al-Fatihah dan semoga Allah mengampunkan segala dosa mereka dan dicucuri rahmat ke atas roh mereka serta ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin.....